Ini lima siri kartun kanak-kanak yang tidak lagi selamat ditonton
Hari demi hari unsur-unsur hak dan kebebasan manusia mutlak, dibangkitkan pejuang hak asasi tanpa henti.
Walaupun pada asasnya apa yang diperjuangkan tampak baik, realitinya unsur-unsur songsang tampak ingin dibiasakan penerimaannya dipersembahkan kepada khalayak ramai secara halus. Ini taktik dahulu. Kini tidak lagi.
Salah satu bentuk media yang sedang berdepan masalah ini, adalah rancangan animasi yang mensasarkan kanak-kanak. Dengan kemudahan teknologi membolehkan kanak-kanak memilih apa yang mereka tonton setiap hari, ada baiknya kita jangan terlena lagi.
Berikut adalah 5 siri pendidikan dan animasi kartun yang popular di negara kita, baru atau memang telah lama mengandungi unsur sebegini.
1. Sesame Street
Pada bulan Jun tahun 2021, siri kanak-kanak popular Sesame Street menjadi antara siri rancangan kanak-kanak klasik yang mengadunkan elemen songsang secara rasmi dalam rancangannya.
Diterbitkan bersempena Pride Day atau Hari Kebanggaan golongan songsang di Amerika Syarikat, episod ke 5132 yang diberi judul ‘Family Day’ memperkenalkan penonton kepada pasangan lelaki sama jenis, Dave dan Frank yang mempunyai anak perempuan bernama Mia.
Usaha memperkenalkan elemen songsang ke dalam rancangan ikonik ini lama berjalan sebenarnya, tetapi episod itu dianggap istimewa kerana buat kali pertama Sesame Street dilihat berani memaparkan dua watak tersebut tanpa berselindung lagi.
Bagi peminat siri ini yang selama ini meragui status hubungan sebenar di antara watak Bert dan Ernie, tidak lama dahulu pun sudah diperjelaskan status mereka dalam sebuah temuramah bersama penulis siri ini dalam tahun 2018.
Cuma kedua-dua watak ini belum diterjemahkan secara rasmi benar-benar songsang di kaca TV. Tunggu masa saja agaknya.
2. Scooby-Doo
Apabila penulis mengetahui siri animasi klasik Scooby-Doo bakal diperbesarkan skop kisahnya bagi merangkumi kisah asal watak-watak utamanya, penulis mempunyai pandangan skeptikal.
Semuanya terbukti benar selepas siri terbaru Velma, sarat dengan elemen-elemen songsang. Diubah secara rasmi pada tahun 2020, watak gadis pintar dengan perwatakan yakin dan pemalu ini akhirnya disahkan diubah suka sama sejenis.
Pengenalan siri baru ini menukar terus acuan lama kartun ini, diadun dengan elemen feminisme dan kesongsangan – serta menukar etnik watak klasik yang ada kepada etnik berbeza.
Shaggy kini seorang lelaki kulit hitam dan Daphne pula adalah seorang wanita Asia yang datang dari keluarga pasangan sejenis wanita dengan wanita.
3. My Little Pony Friendship is Magic
Kita tahu pelangi dijadikan simbol gerakan songsang.
Pelangi dan spektrum warna juga adalah antara elemen yang cukup penting dalam siri animasi My Little Pony. Memaparkan kisah lucu persahabatan di antara anak kuda comel, siri ini menjadi antara watak ikonik kanak-kanak perempuan.
Bagaimanapun menepati tajuk artikel ini – usaha menambah elemen songang mula dilakukan beberapa tahun terdahulu dengan pengenalan watak-watak baru Aunt Lofty and Aunt Holiday, dua kuda betina yang suka sama jantina.
Siri ini kemudiannya menerima pengenalan watak tambahan pasangan watak anak kuda sama jantina pada tahun 2017, sebelum produksi animasi ini mula lebih terbuka memaparkan elemen songsang melibatkan watak-watak utama jalan cerita.
Dua daripada watak utama siri ini iaitu Apple Jack dan Rainbow Dash akhirnya ditayangkan mempunyai hubungan songsang sekitar tahun 2020, memahatkan terus elemen luar tabii dalam siri kanak-kanak yang kelihatan sangat innocent sebenarnya.
4. Power Rangers
Satu siri kegemaran penulis adalah Power Rangers.
Ada sesuatu yang sangat mengujakan melihat 5 orang anak muda mampu melawan puluhan makhluk jahat yang berakhir dengan pertarungan robot gergasi dalam setiap episod.
Filem ‘Power Rangers’ yang diterbitkan dalam tahun 2017 memecah tradisi – dengan pengenalan watak utama iaitu Power Rangers Kuning yang seakan-akan gemar pasangan sama jenis. Namun semuanya masih dilakukan secara tersirat.
Secara rasmi, elemen songsang mula mencemari siri ini secara terbuka tanpa berselindung melalui salah satu episod dalam siri Power Rangers Dino Fury, baru ditayangkan pada 16 Oktober 2021 di Amerika Syarikat.
Dalam episod yang diberikan tajuk ‘The Matchmaker’, Power Rangers Hitam, seorang lelaki bernama Javi cuba membantu Power Rangers Hijau, seorang wanita bernama Izzy mendapatkan pasangan.
Semua usahanya sia-sia. Ini kerana pada penghujung cerita, ditunjukkan Izzy sebenarnya meminati seorang wanita lain berjalan berpegangan tanggan dengan gembira.
Episod ini berakhir dengan sorakan kegembiraan Power Rangers meraikan keberanian Izzy membuat pilihan dan tidak lagi merasa malu mendedahkannya kepada rakan-rakan.
5. Transformers
Kami tahu jika anda kanak-kanak generasi 80-an dan 90-an, pasti ada kemungkinan anda meminati animasi Transformers.
Salah satu filem animasi berstatus klasik dekad tersebut adalah ‘Transformers – The Movie’ menampilkan watak robot wanita bernama Arcee, yang mampu bertukar menjadi sebuah jet. Cantik dan menawan – kanak-kanak lelaki yang suka Transformers rasanya akan jatuh cinta dengan watak ini.
Tetapi tahukah anda, sejak beberapa tahun ini usaha untuk menukarkan latar belakang watak ini mula dijalankan dan kini…watak yang cukup diminati ini bukan lagi dikenali sebagai robot wanita – sebaliknya adalah robot transgender lelaki yang mahu menjadi wanita.
Ya. Inilah dunia yang kita kena harungi sekarang!
Tidak cukup dengan itu pengenalan watak-watak baru yang membawakan elemen kesongsangan telah dilakukan tanpa kita sedar. Mungkin 4 ke 5 tahun akan datang, Transformers lebih selesa dijenamakan semula sebagai Transgenders..
Dan Optimus Prime pula akhirnya menerima hakikat dia sebenarnya ditakdirkan berpasangan dengan Megatron.