Berita baik! Kerajaan umum pengajian percuma kepada pelajar miskin

Berita baik! Kerajaan umum pengajian percuma kepada pelajar miskin

 

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mekanisme dan dasar tersebut akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan.

“Ia sebagai langkah menamatkan kemiskinan melalui ilmu dan kemahiran,” katanya  ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPT di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata KPT juga akan memberi nafas dan sentuhan baharu terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan mengkaji kesesuaian untuk menjadikan PTPTN sebagai sebuah tabung amanah nasional.

“Kita mahu mengurangkan beban hutang PTPTN bagi memastikan kelestariannya serta menjadikan ia sebagai institusi pembiayaan pendidikan nasional yang membolehkan semua individu dari dalam dan luar negara untuk menyumbang kepada pendanaan pendidikan tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata KPT juga sedang meneroka ruang pendidikan yang anjal melalui penggabungan elemen bersemuka dan maya sebagai memanfaatkan platform digital serta teknologi kerana pendekatan sedemikian berupaya memberi impak pengurangan kos pengajian yang signifikan.

Mohamed Khaled berkata pemilihan kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi di bawah KPT  akan melalui proses saringan ketat, teliti serta objektif bagi memastikan jawatan diisi tokoh atau calon paling layak dan berwibawa.

Beliau berkata saringan ketat itu bakal mencerminkan sikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal KPT dalam menterjemah pelbagai dasar dan program nasional.

pengajian percuma

“Negara ini memerlukan sektor pendidikan tinggi yang berfungsi dengan efisien dan cemerlang. Perkara ini mesti dimulakan dengan kepimpinan berwibawa dan berprestasi,” katanya.

Beliau turut menyeru warga IPT agar mendidik penuntut supaya berada di landasan tepat menepati piawaian akademik dan budaya intelektual.

Katanya, KPT ketika ini tidak lagi tertumpu kepada kemahiran insaniah dan amali semata-mata sebaliknya perlu dilengkapi dengan kepintaran mengurus manusia serta mengurus teknologi.

“Kematangan mengawal emosi, kemahiran pelbagai bahasa, kecekapan berunding, kemampuan memimpin perbincangan dan bekerja secara efektif dalam pasukan. Semuanya adalah smart skills (kemahiran pintar),” katanya.

Bagi memperkasakan sistem dan ekosistem program Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau berkata rombakan besar-besaran akan dilakukan terhadap program berkenaan sebagai satu daripada usaha melahirkan pelajar berkemahiran dan cekap teknologi.

“Negara memerlukan ramai individu yang mempunyai kemahiran dan kecekapan teknologi bersifat ‘kalis masa depan’,” katanya.