Team medik Bomba kongsi kisah sebenar di sebalik penemuan mayat rentung di pintu masuk rumah di Flora Damansara
Mayat seorang penghuni yang rentung dalam kejadian kebakaran di Blok D, Flora Damansara malam tadi ditemui berdekatan pintu masuk rumah kerana dipercayai ingin menyelamatkan diri.
Memetik Kosmo! Online, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mayat yang dianggarkan berusia 30-an itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan disahkan mati oleh pasukan perubatan Bomba.
“Mayat hampir 40 peratus terbakar dan dijumpai berdekatan pintu masuk rumah dipercayai cuba menyelamatkan diri.
“Pihak Bomba sukar memadamkan kebakaran pada awalnya kerana masalah tekanan air yang rendah. Sejurus api berjaya dipadamkan, pemeriksaan mendapati hampir 90 peratus rumah tersebut terbakar.
“Pihak Forensik daripada Maktab Cheras dan Balai Bomba Bukit Jelutong dipanggil untuk membantu siasatan dengan mengambil dua sampel iaitu cebisan baju dan kulit mayat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, temubual saksi menyatakan mereka terdengar bunyi letupan yang kuat dari rumah si mati beserta bunyi kaca pecah.
Setelah saksi melihat, terdapat kebakaran di rumah mangsa dan cuba mendapatkan bantuan tetapi gagal kerana api semakin marak.
Siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat
Setakat ini, identiti dan bangsa mangsa masih belum dikenal pasti.
Justeru, Fakhrudin menyeru kepada saksi kejadian yang melihat atau berada di tempat kejadian, untuk tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Sarjan Aktiviti Balai, Sarjan Ahmad Sabran Abdullah di talian 010-5585040 bagi membantu siasatan.