Pertahan lantikan anak MB & TMB Kelantan, kenyataan PKINK cetus perdebatan netizen

Pertahan lantikan anak MB & TMB Kelantan, kenyataan PKINK cetus perdebatan netizen

 

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mempertahankan lantikan  anak Menteri Besar Ahmad Yakob dan timbalannya Mohd Amar Abdullah sebagai kakitangannya.

Badan korporat yang ditubuhkan untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Kelantan itu juga berkata ia tidak boleh disamakan dengan pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan perdana menteri.

PKINK mempertahankan lantikan itu mengikut saluran dan berdasarkan kelayakan, lapor Utusan Malaysia.

“Malah permohonan jawatan untuk anak kepada Datuk Ahmad Yaakob dan Datuk Mohd.

“Amar Nik Abdullah dibuat mengikut prosedur iaitu mengisi borang dan kemudian dipanggil untuk temu duga sebagaimana pencari kerja yang lain,” lapor akhbar itu.

Anak menteri besar, Nor Azma Hilmah dilantik sebagai penolong pe­ngurus bahagian perundangan dan integriti, manakala anak timbalan menteri besar, Ahmad Muhajid dilantik sebagai penolong pengurus bahagian korporat.

“Itu yang berbangkit sebenarnya. Anak MB dan TMB ini berbeza sebab PKINK membuka iklan jawatan kosong. Apabila dibuka mereka mohon, isi borang dan dipanggil untuk temu duga.

“Bila lulus temu duga barulah pelantikan dibuat. Lulus temu duga bermakna markah yang diperoleh itu bagus. Jadi, soal pelantikan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh perdana menteri,” syarikat itu dipetik sebagai berkata.

Ahmad dan Mohd Amar ialah anggota lembaga pengarah PKINK

Utusan Malaysia juga memetik sumber dalaman PKINK sebagai berkata, kedua-dua pemimpin kanan Kelantan itu tidak terlibat proses temu duga.

Lantikan Nor Azma dan Ahmad Muhajid itu mengundang kecaman di Internet sejak minggu lalu sebagai balasan terhadap pertikaian terhadap pelantikan Nurul Izzah.

Nurul Izzah dilantik menjadi penasihat kanan kewangan dan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri. Bagaimanapun jawatan itu tidak dibayar gaji.