Pelanggan kena dengar ‘briefing’ sebelum masuk kedai, penjual kek crepe sekali lagi dikritik

Pelanggan kena dengar ‘briefing’ sebelum masuk kedai, penjual kek crepe sekali lagi dikritik

 

Sebelum ini, seorang usahawan kek crepe terkenal menjadi bualan hangat di media sosial selepas dia meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pekerja di sebuah pasar raya. Difahamkan, isu itu timbul apabila pekerja di situ tidak membantunya mengangkat barangan yang dibeli walaupun dia sudah berbelanja besar di sana.

Namun usahawan itu kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan kecaman hebat yang diterimanya. Malah dia juga mengakui kesilapannya yang tidak membawa pekerjanya sendiri untuk membantu membawa barangan yang dibeli di pasar raya itu.

Baru-baru ini pula, tular sekali lagi video mengenai usahawan itu memaparkan suasana di luar kedainya. Di dalam video itu, kelihatan para pelanggan sedang beratur dan menunggu giliran untuk masuk membeli produk yang dijual di dalam kedai usahawan tersebut.

Namun sebelum dibenarkan masuk, usahawan itu telah membuat satu ‘briefing’ untuk para pelanggan tentang cara-cara untuk membeli produk yang dijual. Difahamkan, ada nilai yang perlu dibeli oleh pelanggan sama ada RM20, RM50, dan RM70 sebelum membeli crepe dan kek lain.

Terima kritikan netizen

Video yang tular itu kini menerima kritikan dari netizen yang menyamakan tindakan usahawan itu dengan sesi ‘briefing’ yang selalunya dilakukan di sekolah. Malah ada juga yang mempersoalkan tindakan usahawan itu memberi maklumat yang boleh ditampal sahaja di luar dan dalam kedai.

Namun ada juga yang memahami tindakan usahawan itu kerana produk crepe keluarannya sememangnya mempunyai sambutan yang hangat. Dengan peraturan yang ditetapkan itu juga, pelanggan lain dapat membeli belah dengan sama rata dan semua orang dapat merasai produk yang dijualnya ini.