Hadi selesai terima suntikan vaksin Covid-19

Hadi selesai terima suntikan vaksin Covid-19

Alhamdulillah, hari ini saya telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Chendering.

Vaksin COVID-19 merupakan salah satu bentuk cara untuk meningkatkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan masyarakat, supaya memiliki daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.

Fokus kerajaan sekarang ialah menjaga keselamatan rakyat sebagai keutamaan, dalam fasa kita berperang dengan wabak ini terutamanya keselamatan dari sudut kesihatan.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan berusaha memulihkan ekonomi rakyat yang teruk terjejas akibat wabak yang kita sedang hadapi.

Para ulama’ menyatakan satu kaedah fiqh:

الضَّرَرُ يُزَال.

“Kemudharatan itu disingkirkan.”

Sesuatu kemudharatan itu dihilangkan atau disingkirkan melalui pelbagai cara. Antaranya adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa.

Oleh itu, pengambilan vaksin turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudharatan. Maka, vaksinasi ini turut bertepatan dengan kaedah fiqh yang disebutkan di atas.

Insya-Allah, dengan adanya vaksin ini kita dapat mengurangkan jangkitan wabak penyakit COVID-19.

Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia serta yang menetap di Malaysia untuk segera mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Semoga usaha murni yang dijalankan ini diberkati oleh Allah SWT untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat.