“Saat paling bermakna” – Tiub pernafasan di leher Ainul Mardhiah akhirnya ditanggalkan
“Macam ini rupanya anak walid bila tak ada tiub di leher, Alhamdulillah.”
Demikian perasaan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 28, apabila kali pertama melihat anak perempuannya Ainul Mardhiah tanpa tiub pernafasan di leher.
Ainul Mardhiah yang dikesan menghidap kanser Germ Cell Tumor sejak lahir mendapat perhatian umum sehingga berita mengenainya tular dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 28, dihubungi doktor Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom Dr Nur Amalina Che Bakri yang menyuarakan hasrat membantu bayi terbabit.
Ainul diiringi ibu dan bapanya bersama pasukan doktor pengiring berlepas ke London dan pada 10 Jun 2019, kanak-kanak itu selamat menjalani pembedahan selama lima jam dan tumor seberat 200 gram yang membesar di dalam mulutnya berjaya dikeluarkan oleh sepasukan pakar diketuai Profesor David Dunaway.
Menceritakan perkembangan Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin berkata, anak sulungnya itu masih dalam pemantauan pakar selepas tiub pernafasan dibuka.
“Isnin ini akan buat beberapa prosedur untuk ‘double confirm’ (pengesahan) sama ada boleh cabut terus atau tidak.
“Tapi buat masa ini, sudah sembilan jam Ainul tanpa trachy (tiub),” tulisnya di hantaran Facebook.
Menurutnya, selepas lebih 30 minit tiub pernafasan dibuka, saturasi oksigen mencapai 96 hingga 100 peratus.
“U (you) cabut dengan wife (isteri) macam biasa, kami tengok.
“Nampak macam Ainul tengah nak balancekan (seimbangkan) pernafasan dia dari lubang ke hidung.
“Menggigil juga nak cabut sendiri, walaupun sepanjang lima tahun ini memang kami berdua yang buat penukaran tiub setiap dua minggu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas cabut yang lama untuk dicuci, dalam tempoh tiga saat dia akan terus masukkan yang baharu.
“Memang tak pernah nampaklah keadaan Ainul macam sekarang.
“Hari ini pantau di HDU (High Dependency Unit), bersedia untuk hari Isnin ini,” katanya.
Sementara itu, Nurul Erwani menerusi Instagramnya berkongsi detik indah itu.
“Bermula tahun lepas Ainul kritikal, Dr Jaseem (Datuk Dr Jaseemuddeen Abu Bakar) contact (hubungi) kami suruh bawa jumpa dia untuk advise (nasihat) kami yang sebenarnya trachy itulah punca kenapa Ainul selalu kena infection (jangkitan).
“Bila ditanya kami bila rancangan untuk cabut trachy, kami hanya kata tiada dari mana-mana. Lama dah kami tunggu saat ini,” tulisnya.
Katanya, saat paling ditunggu apabila semalam Ainul boleh bernafas normal seperti manusia lain tanpa ada bendasing di tekaknya.
“Alhamdulillah Syukur. Step by step Dr Jaseem plan kan untuk Ainul.
“Dan rupanya juga Ainul sudah pandai makan dan menelan. Siapa kita nak kata Ainul tak pandai buat semua tu. Ainul sangat tak dijangka, sebenarnya dia boleh buat apa yang sepatutnya budak normal buat,” katanya.