Catatan diari Allahyarham Prebet Iman undang tanda tanya, “Kepala aku dihayun jurulatih…”

Catatan diari Allahyarham Prebet Iman undang tanda tanya, “Kepala aku dihayun jurulatih…”

 

SETELAH lima bulan adik kesayangan pergi buat selama-lamanya, perasaan rindu seorang kakak bagaikan tiada berpenghujung.

Namun kekuatan yang diperoleh Noorzihansafira Arbain untuk menyelak helaian demi helaian bagi membaca catatan diari adiknya, Muhamad Iman menemukan satu luahan yang tidak disangka-sangka.

Ia benar-benar mengejutkan si kakak sementelah kematian mengejut adiknya sebelum ini memberi pelbagai tanda tanya.

Baru-baru ini aku ketuk pintu bilik jurulatih. Ketuk, hentak kaki dan bagi salam. Selesai semua, aku buka pintu. (Jurulatih) kata aku kurang ajar ketuk pintu tak bagi salam, dan terus buka.

Aku kena hukum, kepala aku dihayun oleh jurulatih banyak kali sampai pintu pecah. Dahi aku pun luka, ujian buat diriku,” tulis Allahyarham Prebet Muhamad Iman Arbain dalam coretan diarinya itu.

Namun coretan tulisan tangan itu tidak dinyatakan tarikh dan masa kejadian itu berlaku.

Untuk rekod sebelum ini juga mStar pernah menyiarkan kisah Allahyarham Muhammad Iman yang meninggal dunia pada 21 September 2022 ketika berusia 23 tahun.

Allahyarham dilaporkan rebah ketika menjalani latihan ketenteraan iaitu kursus orientasi asas komando pada 19 September tahun lalu.

Kemudian dia dimasukkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat strok haba dan kegagalan fungsi organ.

Bercakap kepada mStar tentang penemuan diari tersebut, Noorzihansafira berkata ia sebenarnya sudah lama dijumpai iaitu selepas adiknya meninggal dunia.

“Sebelum ini, saya buka macam tu je, tak tengok secara terperinci. Baru-baru ini baru tergerak hati nak tengok sebab rindu sangat kat dia (arwah Iman).

“Saya buka dan baca satu demi satu muka surat, kebanyakannya yang ditulis ialah tentang rutin arwah iaitu apa aktiviti yang dia buat. Bagaimanapun saya benar-benar terkejut apabila saya terbaca satu luahannya pada bahagian tengah,” katanya ketika dihubungi mStar.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata, kejadian tersebut mungkin didakwa berlaku pada 2021 ketika arwah menjalani latihan sebelum bergelar prebet.

Sebagai kakak, dia yang lebih mesra disapa Zihan tidak dapat menyembunyikan kesedihannya ketika membaca luahan adiknya.

“Saya terbayangkan situasi yang berlaku, terbayangkan dia memang tak akan melawan… sebab apabila ayah marah pun, dia tak akan melawan.

“Terutamanya part dia tulis ‘ujian untuk aku’, bermakna dia reda. Saya berlinang air mata kerana rasa sedih dan sakit hati,” ujarnya yang turut menegaskan bahawa luahan di dalam diari tersebut tiada kaitan dengan kematian adiknya lima bulan lalu itu.

Menurut Zihan lagi, dia menegaskan bahawa perkongsian mengenai diari adiknya sekadar untuk memberi kesedaran kepada semua pihak.

“Kesedaran apabila seseorang jurulatih itu diberikan tanggungjawab, dia seharusnya memikul amanah itu sebaik-baiknya.

Dalam diari tu dia juga sebut tentang impian setelah tamat latihan… tapi tak kesampaian. – Kakak

“Setiap latihan kena telus. Kita tak mahu budaya ragging berlaku dalam mana-mana badan beruniform mahupun asrama.

“Jangan gunakan title (jawatan) untuk menunjukkan diri ada kuasa, menindas orang yang berada di bawah. Jangan melakukan sesuatu yang melampaui batas,” katanya dengan nada sebak merindui Allahyarham Iman yang merupakan adik bongsu daripada tiga beradik.

Dalam pada itu, Zihan memberitahu dia tidak menyangka kekuatannya untuk membaca diari arwah adiknya turut menemukan luahan lain yang menyentuh hati.

“Dalam diari tu dia juga sebut tentang impian dia setelah tamat latihan. Tapi tak kesampaian seperti nak hias dan ubah suai biliknya sendiri.

“Ini termasuklah kiraan bajet dia nak bagi duit kat ayah, adik-beradik dan anak-anak saudara.

“Tapi syukur ada juga pencennya yang ditinggalkan untuk ayah,” katanya yang merancang untuk menyambung hasrat arwah adiknya dengan mengubah suai bilik tidur di rumah bapa mereka di Rawang, Selangor.