Tular video berbalah, polis sahkan buka kertas sisatan kes Musa Hassan dan isteri
Polis sudah membuka kertas siasatan mengenai satu kejadian membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isterinya berhubung tiga rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam.
Menurut laporan Astro Awani, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam tempoh terdekat.
Malah Astro Awani difahamkan, kedua-dua pihak juga sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
Terdahulu, rakaman video tersebut tular selepas dimuat naik seorang pengguna laman Twitter yang memaparkan pertengkaran antara suami dan isteri yang turut disaksikan oleh seorang kanak-kanak lelaki.
Susulan penularan video berkenaan, Musa menulis satu ciapan di akaun Twitter miliknya berharap orang ramai menghormati privasi selain tidak mencampuri urusan keluarganya.
Tambah Musa, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat pihak yang membuat andaian atau spekulasi sendiri berhubung kejadian terbabit.