Calon kerusi MB, Pas Kedah enggan beri laluan kepada PPBM

Calon kerusi MB, Pas Kedah enggan beri laluan kepada PPBM

 

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan dilantik semula ke jawatan Menteri Besar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Memetik Harian Metro, Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya yakin sokongan berterusan pengundi turut bakal memberi kesan di negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH).

“PAS Kedah ingin menegaskan bahawa Muhammad Sanusi Sanusi kekal menjadi ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Negeri kelak dan beliau akan kekal meneraju pentadbiran Kedah jika terus diangkat dalam PRN.

“InsyaAllah sokongan berterusan daripada rakyat Kedah akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN di Kedah khususnya dan tidak mustahil misi ini akan turut memberikan impak langsung kepada negeri lain yang ditadbir PH seperti Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ketegasan Muhammad Sanusi menegakkan kebenaran dilihat menjadi sebab mengapa tekanan politik berterusan diarahkan kepadanya ketika ini.

Katanya, perkara itu berlaku kerana PH kini tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN yang mendapat dokongan kuat masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Oleh itu, langkah pembunuhan karakter terhadap Muhammad Sanusi dilaksanakan kerana beliau juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di Kedah.

“PAS Kedah yakin segala penjalanan pentadbiran dan perlaksanaan dasar negeri berada dalam landasan terbaik seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, malah hasrat ‘The Greater Kedah’ yang digagaskan beliau tidak mustahil akan direalisasikan kelak,” katanya.

Ahmad menegaskan, tekanan politik yang turut dihempapkan ke atas Kerajaan Negeri Kedah menunjukkan Kerajaan Persekutuan membelakangi semangat madani dalam erti kata sebenar.

Katanya, ia juga menunjukkan wajah dan sikap federalisme tempang yang mengundurkan negara ke era politik lapuk.

“Bukankah berulang kali kita mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya mengekalkan profesionalisme dalam hubungan federalisme di antara Persekutuan dan Negeri?

“Malangnya, Kerajaan Persekutuan melaksanakan federalisme terpilih kerana dendam politik serta pembunuhan karakter terhadap Muhammad Sanusi,” katanya.