Cucu Tok Guru Nik Aziz terkilan darjah kebesaran ‘Tun’ milik datuknya ditukarkan menjadi ‘Tan Sri’
Cucu perempuan almarhum Tok Guru Nik Aziz tampil meluahkan kekecewaannya selepas almarhum datuk kesayangannya diletakkan setaraf dengan tokoh pembangkang bukan beragama Islam sewaktu dianugerahkan darjah kebesaran oleh YDPA baru-baru ini.
Malah, dia turut mendakwa bahawa keluarga almarhum telah dimaklumkan akan mendapat anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran Tun, tetapi terkejut kemudiannya dimaklumkan hanya gelaran Tan Sri.
Pendedahan tersebut dibuatnya melalui FB miliknya menggunakan nama Nik Nur Humaira semalam.
Dalam tulisannya, dia turut mempertikaikan tindakan kerajaan menggunakan anak kedua almarhum, Nik Omar yang bertanding pada PRU-15 lepas menggunakan logo PKR, dan bukannya anaknya yang kekal istiqamah dalam parti perjuangan datuknya.
[Tan Sri Nik Abd Aziz : Di Antara Anugerah & Naratif Politik]
1. Secara zahirnya, penganugerahan ini adalah perkenan daripada YDPA. Namun, senarai penerima ini akan dicadang serta ditapis oleh Perdana Menteri terlebih dahulu.
2.Surat jemputan daripada istana tidak diberikan melalui kerajaan negeri, sebaliknya dihantar melalui anak kedua Allahyarham yang memilih bertanding di atas tiket PKR di Perak, iaitu bapa saudara kami yang dihormati. 23 tahun memimpin kerajaan PAS di Kelantan, namun undangan bersejarah begini diberikan melalui tangan seorang yang memilih untuk tidak bersama perjuangan beliau? Media FMT juga hanya menemu-bual ayah saudara kami yang satu ini, bukan 9 anak Allahyarham lain yang masih bersama perjuangannya.
3. Memandangkan jemputan daripada Istana Negara tidak boleh ditolak, maka isteri Allahyarham, Tuan Sabariah Tuan Ishak, nenda kami, memenuhi undangan tersebut.
4. Ahli keluarga “dicanangkan” lebih awal bahawa Tuan Guru akan dianugerahi gelaran Tun, namun sebaliknya apabila surat istana tiba, ternyata kami dikejutkan dengan penerimaan gelaran Tan Sri SAHAJA. Ah, tidak pelik kerana yang mencanangkan ini memang dikenali sebagai Mat Retorik, sebagaimana Tun M menggelarkannya.
5.Adakah kami memandang rendah gelaran Tan Sri ini? كلَّا. Namun kami terkejut kerana ayahanda ulama sepuh milik ummah ini diletakkan SEBARIS dengan seteru politik & agama daripada DAP, dari dulu sehingga nafas akhir beliau. Ternyata sama sahaja taraf seorang ulama yang bermati-matian atas nama Islam, dengan seorang berfahaman chauvinist & tidak menerima Malaysia sebagai negara Islam, di mata Malaysia Madani ini… حسبنا الله ونعم الوكيل
6.Penulisan ini tidak bermakna kami bertentangan dengan PAS yang turut meraikan penganugerahan ini, namun kerana ingin menepis naratif ‘keluarga besar TGNA berpecah dan kami yang menyatukannya ‘, ‘masa jadi kerajaan, PAS tak beri Tan Sri pun’ atau ‘Anwar tak lupa kawan’ dan lain-lain reverse psikologi yang ditujukan.
Walhal, hanya kerana seorang anak Allahyarham tidak sedar dirinya menjadi bola bagi pihak lawan, bergerak ikut kaki yang menyepaknya, meraikan ayahnya yang diletakkan sebaris dengan musuh agama yang dilawan sehingga keras jiwa dan putus nyawanya.
7. Ulama ini diberikan pengiktirafan, hanya setelah jasad tertanam jauh di dalam bumi. Sayang sekali, ketokohan beliau diperalatkan setelah beliau tiada. ATGNA telah dianugerahi gelaran Dato’ Bentara Setia pada tahun 2010, iaitu tiga tahun sebelum beliau turun dari kerusi Menteri Besar setelah 23 tahun pemerintahan. Apa ertinya? Bahawa gelaran material ini tidak lah pernah menjadi keutamaan beliau kerana sedar bahawa pangkat dan darjat di dunia tidak menyamai ganjaran dan keredaan Allah SWT.
8.Walaupun begitu di kesempatan ini, saya menjunjung kasih kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong atas perkenan penganugerahan Darjah Kebesaran P. S. M ini kepada Allahyarham datuk kami, Nik Abd Aziz Nik Mat. Junjung kasih, Tuanku. (Taknak mai Mesir ka Tuanku?)
Akhir sekali, pengiktirafan sebenar akan lebih bermanfaat sekiranya idea tokoh ini diperjuangkan, biografi hidupnya dibukukan, serta wawasannya diangkat ke persada.
Sebagai seorang penulis sendiri, saya hanya menunggu masa untuk mengumpulkan segala maklumat hidup arwah Tuan Guru untuk menulis sebuah biografi lengkap beliau. Penulisan biografi tidak mudah dan akan mengambil masa yang panjang, namun inilah bakti yang saya mampu lakukan kepada beliau.
In frame: Plak atas sekali adalah gambar ATGNA yang dipaparkan pada Pesta Buku Antara bangsa Kaherah pada Februari lalu.
رحمه الله رحمة واسعة وأسكنه فسيح جناته 🥀🤲🏽