Doktor hamil empat bulan ditemui mati tergantung di bilik

Doktor hamil empat bulan ditemui mati tergantung di bilik

 

Seorang doktor hamil empat bulan ditemukan mati tergantung dalam sebuah bilik di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 32 tahun itu bertugas di sebuah klinik kesihatan kerajaan.

Katanya, laporan polis dibuat jam 8.55 malam pada 5 Jun lalu susulan makluman daripada Hospital Sungai Buloh sebaik menerima panggilan kecemasan dari seorang lelaki berusia 32 tahun yang memaklumkan isterinya mati tergantung di rumah.

“Mangsa dibawa ke zon merah Hospital Shah Alam oleh suaminya dengan menaiki kereta namun gagal diselamatkan.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian iaitu sebuah rumah teres dua tingkat mendapati tiada tanda pergelutan, manakala pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa juga tidak mengesan kecederaan fizikal lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, bedah siasat dijalankan pada 6 Jun lalu di Hospital Shah Alam dan punca kematian adalah disebabkan sesak nafas, namun polis masih menyiasat dan tidak menolak kemungkinan kejadian ada kaitan dengan tekanan.

“Siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai masalah kewangan atau kerja,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam Sarjan Mejar Muhammad Shafawi Yaacob di talian 03-55202222.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan di Facebook rasmi jabatan itu, memaklumkan dua kematian mengejut membabitkan petugas kesihatan dilaporkan di negeri ini.

“Kejadian ini amat mendukacitakan kita dan JKNS ingin mengingatkan mana-mana individu yang mengalami masalah emosi supaya tampil mendapatkan bantuan sokongan emosi daripada golongan profesional.

“Mereka juga boleh menghubungi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental, Talian HEAL di 15555 yang dikendalikan ole Pegawai Psikologi (Kaunseling) Kementerian Kesihatan Malaysia yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam,” katanya.