GEMPAR! Suka ejek miskin, warga emas bunuh jiran
Berang sering dihina kerana miskin menyebabkan seorang warga emas hilang pertimbangan dan membunuh jirannya.
Kejadian berlaku di Desa Tungganamo, Pantai Baru di sini, menyebabkan mangsa berusia 57 tahun cedera di belakang kepala, muka selain luka di badan.
Ketua Perhubungan Awam Polis, Anam Nurcahyo berkata, motif pembunuhan kerana suspek yang berusia 67 tahun tidak tahan apabila sering diejek mangsa disebabkan dia miskin.
“Sehingga suspek menyimpan dendam dan hilang pertimbangan sebelum membunuh jirannya itu dengan kayu pada 24 September lalu.
“Kematian mangsa terbongkar selepas mayatnya ditemui penduduk di bawah pokok di kebun. Polis melakukan siasatan selama dua minggu sebelum menahan suspek pada Rabu lalu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro yang memetik portal berita Kompas.com.
Menurutnya, 24 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan kejadian itu dan suspek mengaku membunuh mangsa.
Katanya, suspek kini dalam tahanan untuk tindakan lanjut.