Lapan juta penerima STR3 terima bayaran bermula Isnin depan

Lapan juta penerima STR3 terima bayaran bermula Isnin depan

Lebih 8 juta golongan B40 yang layak bakal menerima Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR 3) mulai Isnin ini.

Memetik Sinar Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran tersebut membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion di mana penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.

“Kerajaan telah memutuskan pembayaran STR 3 dipercepatkan dan disalurkan sebelum Aidiladha berbanding perancangan awal pada Julai bagi meringankan beban kewangan rakyat,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, STR akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima mulai 26 Jun hingga 5 Julai manakala mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran tunai dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) pada Isnin.

Fasa pertama dan kedua STR telah disalurkan pada Januari serta April lepas.

“Ketiga-tiga fasa STR ini melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi tahun,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembayaran fasa keempat STR dijangka dilakukan pada November depan.

Status kelulusan STR 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun. Sebagai langkah memastikan program STR 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai.

“Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM),” ujar beliau.

Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 ini boleh dilayari di portal rasmi STR .