Mahasiswa boleh tebus bantuan e-Wallet RM200 pada 26 Jun ini

Mahasiswa boleh tebus bantuan e-Wallet RM200 pada 26 Jun ini

 

Belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pe­ngajian tinggi (IPT) boleh mula mendaftar untuk menerima kredit RM200 menerusi program eBeliaRahmah mulai Isnin ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tempoh pendaftaran dan tuntutan eBeliaRahmah adalah mulai 26 Jun 2023 sehingga 22 Ogos ini manakala, kredit eBeliaRahmah dan manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan secara offline sehingga 31 Ogos 2023.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi program eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023 yang akan memanfaatkan seramai dua juta belia yang layak.

“Selain bertujuan terus memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, ini juga sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka.

“Tambahan lagi, ini juga merupakan peningkatan tawaran kredit e-tunai berban­ding RM150 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Anwar berkata, belia warganegara Malaysia yang layak boleh mula mendaftar untuk menerima RM200 dalam bentuk kredit e-tunai secara one-off dengan salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet terkemuka iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

Katanya, beberapa syarat pendaftaran ditetapkan terma­suk pemohon mesti mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun 2023 (lahir tahun 2003 sehingga 2005) dan berstatus aktif sebagai pelajar sepenuh masa di IPT di Malaysia.

Menurutnya, selain bantuan RM200 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut akan memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai atau diskaun mata ganjaran (rewards points) sepanjang tempoh program ini.

“Kredit RM200 ini juga boleh dimanfaatkan di peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terlibat dalam program ini, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan,” jelasnya.