Kejam!!! Kem pelarian Rohinga terbakar atau dibakar?
Lima orang dipercayai terbunuh dan sekurang-kurangnya 20,000 lagi penduduk Rohingya melarikan diri selepas sejumlah pondok di kem pelarian etnik itu di tenggara Bangladesh terbakar, kata beberapa pegawai pada Isnin.
Ia merupakan kebakaran ketiga yang berlaku dalam tempoh empat hari di kem tersebut.
Dalam kebakaran itu, seramai tiga kanak-kanak dan dua wanita terkorban akibat kebakaran itu.
Hampir satu juta penduduk minoriti Muslim itu dari Myanmar kebanyakannya melarikan diri daripada operasi tentera bagi menentang kumpulan militan Rohingya di negara mereka pada tahun 2017 ke Bangladesh.
Para pelarian itu kemudian ditempatkan di daerah Cox’s Bazar, tenggara negara tersebut.
Beberapa pegawai berkata, kebakaran itu bermula di salah satu daripada 34 kem yang terletak dalam kawasan seluas kira-kira 3,237 hektar.
Ia kemudian merebak ke tiga buah lagi kem sehingga menyebabkan para pelarian melarikan diri dan membawa apa shaja barangan dari pondok-pondok yang menjadi tempat tinggal mereka.
Asap tebal dapat dilihat dari pondok-pondok itu menerusi video yang dikongsikan di media sosial ketika ratusan anggota bomba dan pekerja bantuan memadamkan kebakaran serta menyelamatkan pelarian ke tempat selamat.
“Ia merupakan kebakaran yang besar. Sekurang-kurangnya 20,000 orang melarikan diri,” kata seorang pentadbir Cox’s Bazar, Mamunur Rashid kepada AFP.
Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, Gazi Salahuddin berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan pada tengah malam.
“Kami mendengar lima orang terbunuh akibat kebakaran tersebut dan mayat mereka berada di dalam kem tersebut,” katanya.
Beliau memberitahu bahawa polis tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga mayat-mayat mangsa kebakaran ditemui.
Beberapa pegawai memberitahu AFP, satu penilaian awal mendapati lebih 900 pondok yang menjadi tempat tinggal untuk 7,400 pelarian itu terbakar.
Seorang etnik Rohingya, Mohammad Yasin yang membantu anggota-anggota bomba memadamkan kebakaran berkata, kebakaran itu berlaku lebih 10 jam dan yang paling teruk sejak 2017.
Dalam pada itu, seorang anggota sukarela pertubuhan kanak-kanak, Tayeba Begum berkata, orang ramai menjerit dan berlari manakala kanak-kanak turut menangis serta berlari bertempiaran dalam kejadian itu.
Ia merupakan kebakaran ketiga di kem tersebut dalam tempoh empat hari, kata seorang pegawai bomba, Sikder kepada AFP.
Tambahnya, dua kebakaran berasingan di kem itu berlaku pada Jumaat lalu sekali gus memusnahkan sejumlah pondok.
Menurut Sikder, punca kebakaran itu masih tidak diketahui.
Dua kebakaran besar turut berlaku di kem itu pada Januari lalu menyebabkan ribuan pelarian hilang tempat tinggal dan empat buat sekolah pertubuhan Dana Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut terbakar. – Agensi