“Masa malam tengah buat tugasan, boleh selamba dia datang cakap pakwenya nak masuk rumah kejap,” – pelajar IPT buntu rakan serumah kerap angkut lelaki ke bilik

“Masa malam tengah buat tugasan, boleh selamba dia datang cakap pakwenya nak masuk rumah kejap,” – pelajar IPT buntu rakan serumah kerap angkut lelaki ke bilik

Seorang pengadu tanpa nama meluahkan rasa geram dengan rakan serumahnya apabila sering membawa kekasih masuk ke rumah sewa yang dihuni beberapa gadis lain.

Difahamkan kesemua penghuni di rumah sewa itu adalah pelajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur.

Menurut pengadu, dia dan rakan rumah yang lain telah beberapa kali menegur rakan mereka itu, namun tidak diendahkan.

“Kami semua perempuan dan tinggal di sebuah kondominium di Kuala Lumpur. Seorang rakan rumah ini selalu sangat bawa kekasih masuk rumah.

“Kadang-kadang malam tengah buat tugasan, dia datang cakap kekasih dia nak masuk rumah kejap, kemudian kami pula yang kena angkat barang masuk dalam bilik buat kerja,” katanya menerusi satu luahan yang tular di Twitter sejak semalam.

Tambah pengadu, kekasih rakan serumahnya itu juga sering tidur di sana sehingga menyebabkan mereka kurang selesa kerana terdapat lelaki di dalam rumah perempuan.

“Selalunya kekasih dia memang akan tidur dalam bilik dengan dia, pagi esok baru keluar rumah balik. Dia memang langsung tak kisah soal ‘personal’ dan aurat kami yang lain, asalkan kekasih dia dapat masuk rumah.

“Bayangkan bayar sewa mahal tapi kena kongsi rumah dengan lelaki asing. Kami pelajar dan tak tahu sangat kalau ada kes macam ini. Tolong cadangkan macam mana nak buat laporan atau apa-apa tindakan lain. Nasihat apa semua memang tak jalan,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang meminta pengadu untuk buat laporan kepada pihak majlis agama untuk serbuan ke lokasi.

Selain itu, ada yang meminta untuk pengadu menceritakan situasi tersebut kepada tuan rumah untuk menamatkan segera kontrak sewaan rakannya itu.

Sumber – KOSMO! ONLINE