Berapi!!! Pesanan Mukhriz kepada Nik Nazmi, cerminlah diri anda dahulu

Berapi!!! Pesanan Mukhriz kepada Nik Nazmi, cerminlah diri anda dahulu

Dalam keghairahan PKR untuk menaikkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kata Mukhriz Mahathir, pemimpin parti itu tidak wajar menuding jari menyalahkan orang lain termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menyasarkan kenyataannya kepada Nik Nazmi Nik Ahmad, Mukriz berkata kritikan dibuat ahli parlimen Setiawangsa ke atas Mahathir adalah bercanggah dengan situasi sebenar.

“Saya tegaskan kepada anda, Nik Nazmi, bahawa dalam keghairahan anda untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri, anda menyalahkan orang lain khususnya Mahathir atas semua kegagalan PKR.

“Sehingga ke hari ini, Mahathir terus menentang korupsi dan jelas sekali beliau langsung tidak meraih manfaat daripada Langkah Sheraton yang melibatkan ahli-ahli parlimen yang digugurkan dari PKR serta bekas ahli-ahli parlimen Umno yang menyertai Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mukhriz yang juga presiden penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menambah jika ada unsur-unsur suapan ganjaran yang menyalahi undang-undang atau tidak beretika, lebih baik agar pihak yang mendapat manfaatnya didedahkan selepas mereka mengkhianati mandat rakyat.

“Yang pasti, bukan Mahathir,” katanya.

Pada 20 Mac lalu, Nik Nazmi mendakwa Anwar pernah dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton dan meramalkan ketua pembangkang itu dijadikan sebagai perdana menteri jika bersetuju menerima tawaran tersebut.

Mengulas lanjut mengenai peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa, Nik Nazmi berkata Mahathir hanya berminat untuk memperkukuhkan kedudukannya ketika itu.

Muhyiddin guna kuasa presiden

Mengimbas semula bagaimana PH berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN selepas lebih 60 tahun mentadbir negara, Mukriz yang juga bekas timbalan presiden Bersatu berkata, kepimpinan Mahathir menyatukan pengundi – terutamanya yang sebelum itu memilih Umno – untuk menolak Najib Razak.

“Punca sebenar ahli-ahli Parlimen dalam Umno yang tidak terkait dengan kes mahkamah begitu bersungguh-sungguh hendak menyertai PH melalui Bersatu adalah kerana PH menang dan berjaya menjatuhkan kerajaan Najib.

“Kita menang secara sah, tidak seperti pentadbiran Muhyiddin Yassin yang memerintah secara menabur habuan tetapi menghukum mereka jika tidak dapat apa yang dihajati demi untuk kekal berkuasa,” kata Mukhriz.

Ahli parlimen Jerlun yang pernah menjadi pengerusi jawatankuasa penapisan keahlian Bersatu berkata dia pernah membantah kemasukan beberapa ahli parlimen Umno ke dalam parti itu tetapi Muhyiddin telah menggunakan kuasanya – sebagai presiden parti – untuk menolak cadangan berkenaan.

Nik Nazmi Nik Ahmad

 

Mukhriz juga meminta Nik Nazmi berlaku adil semasa membuat kenyataan kerana sebelum ini dia menuduh Mahathir membuat keputusan secara bersendirian tanpa mengendahkan kerangka PH dan mengecam Buku Harapan.

“Tetapi pada masa yang sama, anda mengatakan PH mencapai banyak kejayaan pada waktu yang singkat, dalam tempoh 22 bulan, dengan berpandukan kepada aspirasi dan hala tuju yang terkandung dalam Buku Harapan. Yang mana satu (yang betul)?

“Adakah anda bermaksud bahawa walaupun kepimpinan Mahathir dikatakan pincang, kerajaan sebelum ini berjaya melaksanakan tanggungjawabnya, dan kegagalan semuanya disebabkan oleh Mahathir seorang?” katanya.

Mukhriz juga berkata sepatutnya pelantikan menteri dari kalangan pemimpin PKR – serta yang bertelingkah dalam parti itu – diselesaikan secara dalaman.

“Kenapa Mahathir yang dipersalahkan seolah-olah beliau memihak kepada kumpulan tertentu apabila melantik pemimpin-pemimpin kanan PKR sebagai anggota kabinet?” katanya.

Justeru Mukhriz meminta supaya PKR tidak berpura-pura dengan menunjukkan kononnya pemimpin parti itu ikhlas semasa PH menjadi kerajaan.

“Dengan ini, saya mengecam sebarang andaian mahu pun dakwaan bahawa Mahathir pada bila-bila masa melakukan kesalahan atau bertindak tanpa etika, termasuk ketika ahli-ahli parlimen Umno menyertai Bersatu dan PH,” katanya.  – MK