Saman Baby Shima, barisan peguam PU Syed dibocor media

Saman Baby Shima, barisan peguam PU Syed dibocor media

Beberapa peguam bertindak menawarkan khidmat nasihat perundangan secara percuma kepada selebriti dakwah Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkait saman fitnah yang difailkan penyanyi wanita, Nor Ashima Ramli atau Baby Shima.

Memetik Sinar Harian, Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan (PBPIK), Nik Saiful Adli Burhan berkata, nasihat dan khidmat guaman itu disediakan melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli.

Menurut Nik Saiful Adli, pihaknya akan mendapatkan pandangan semua peguam yang sudi menawarkan bantuan berkenaan jika diperlukan dan bersedia membantu individu yang ditekan oleh undang-undang dalam menjalankan kerja dakwah.

“Akan ada lebih ramai lagi peguam yang akan membantu PU Syed.

“Mungkin di luar sana ramai yang takut nak menegur ke arah kebaikan jika perbuatan dakwah menjadi suatu pelanggaran undang-undang sama ada di bawah undang-undang sivil atau tort dan saya akan pastikan perkara ini tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Baby Shima memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Malaya, Ipoh serta Mahkamah Tinggi Malaya, di sini.

Saman difailkan terhadap pendakwah PU Syed dan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Abd Rahman Mat Noor berkaitan ucapan kata-kata fitnah terhadapnya.

Kata Nik Saiful Adli, dua lagi peguam berpengalaman dalam mengendalikan kes fitnah turut menawarkan perkhidmatan sama secara percuma kepada pendakwah berkenaan.