Terkini! Syarikat gergasi sarung tangan getah umum tutup operasi di Kedah

Terkini! Syarikat gergasi sarung tangan getah umum tutup operasi di Kedah

 

Aspen Glove Sdn Bhd, anak syarikat Aspen Group menghantar petisyen kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membubarkan perniagaannya pada 14 Julai lalu kerana tidak dapat membayar hutang.

Ia selepas Aspen Glove mengumumkan cadangan untuk menjual tanah dan kilang di Seksyen 11, Bandar Lunas dekat Kulim pada April lalu menemui jalan buntu.

Tanah dan aset bangunan berkenaan dicadangkan untuk dijual pada pertimbangan harga RM200 juta Disember tahun lalu.

Aspen Group dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Singapura (SGX) berkata, petisyen untuk pembubaran perniagaan itu adalah demi ‘kepentingan terbaik’ Aspen Glove dan pemiutangnya.

Hal ini kerana, katanya langkah yang diambil memastikan hal ehwal syarikat itu teratur di bawah kawalan mahkamah yang dilantik pemiutang, selain ia adalah cara yang paling tepat pada waktunya dan berkesan dari segi kos untuk mencairkan Aspen Glove.

“Memandangkan Aspen Glove gagal dalam cubaan untuk melupuskan kepentingan dalam tanah pajakan dan bangunan kilang, tuntutan undang-undang yang bertambah dihadapinya dan kedudukan kewangan semasa syarikat, pengarah dan pemegang saham Aspen Glove memutuskan bahawa syarikat itu tidak dapat membayar hutang-hutangnya berdasarkan liabiti sebenar manakala aliran tunainya tidak berkeupayaan,” demikian menurut kenyataan Aspen Group.

Mengikut asas pro forma, jika pembubaran syarikat berkuat kuasa pada 1 Januari 2021, kerugian sesaham Aspen Glove adalah 16.62 sesaham.

Selepas pembubaran, kerugian sesaham syarikat itu akan berada pada 13.63 sen bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

Aspen Group mula menubuhkan Aspen Glove semasa pandemik pada Ogos 2020 untuk mempelbagaikan skop perniagaan sedia ada.

Walau bagaimanapun, pada Jun 2022, kumpulan mengumumkan bahawa Aspen Glove akan mengurangkan dengan ketara operasi disebabkan oleh ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam pasaran sarung tangan perubatan.