Luluh hati ibu, bayi pramatang alami pendarahan, retak tulang kepala selepas terjatuh akibat kecuaian kakitangan hospital

Luluh hati ibu, bayi pramatang alami pendarahan, retak tulang kepala selepas terjatuh akibat kecuaian kakitangan hospital

Seorang bayi pramatang dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat kecuaian kakitangan hospital dalam kejadian yang berlaku pada 16 Julai 2023.

Menurut ibu kepada bayi lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Azie berkata, dia telah dimaklumkan oleh piihak hospital pada jam 11.30 pagi mengenai insiden itu.

“Pihak hospital maklumkan, bayi saya yang tak cukup bulan terjatuh dan mengalami pendarahan di bahagian otak serta retak tulang kepala sebelah kiri.

“Ya Allah, luluh hati saya dan suami mendengar berita itu. Kami segera membuat laporan polis. Semoga Allah mempermudahkan segalanya demi anak ibu yang baru nak membesar,” katanya.

Dalam pada itu, Azie kesal jururawat yang menyebabkan bayinya terjatuh langsung tidak tampil berjumpa dengan dia dan suami untuk memohon maaf atau beri penjelasan.

“Saya menunggu kepulangan anak saya selama dua bulan 10 hari dari wad. Hari-hari saya berdoa agar anak saya cepat sihat dan membesar dengan sihatnya.

“Tetapi jururawat telah cuai menjatuhkan anak saya. Dan sehingga sekarang masih tidak munculkan diri untuk berjumpa dengan kami.

“Hati saya tidak boleh menerima perbuatan dia. Semoga Allah yang menentukan segalanya. Saya tidak sanggup kehilangan anak saya,” katanya.