Pembantu rumah warga Indonesia dakwa diseksa, rupanya larikan diri dengan wang tunai dan barang berharga majikan
Polis menafikan dakwaan seorang wanita warga asing didera majikannya dan terpaksa melarikan diri untuk memohon bantuan seperti yang dirakam dalam video tular di media sosial, sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan mendapati wanita berusia lingkungan 30-an itu sebenarnya melarikan diri dari rumah majikannya di Taman Pelangi di sini, membawa pelbagai barangan milik majikan berserta wang tunai.
“Pada 10.48 malam semalam, polis menerima laporan seorang wanita tempatan berusia 52 tahun memaklumkan pembantu rumahnya, seorang wanita warga asing melarikan diri bersama barangan berharga dan wang tunai miliknya, keseluruhannya bernilai RM10,850.
“Pembantu rumah itu didakwa melarikan diri dari rumah majikannya pada 11.21 pagi kelmarin,” katanya menerusi kenyataannya, hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Semalam, tular video dimuat naik seorang pemandu e-hailing yang mendakwa dia bersama seorang wanita dipercayai warga Indonesia yang ditemuinya berlari di tepi jalan sambil menangis dan meminta tolong keluar dari kawasan rumah majikannya.
Video
Tengah drive tiba² seorang perempuan warga indonesia baru sampai 2 minggu bekerja di johor sebagai pembantu rumah belari di tepi jalan sambil menangis menahan merayu minta tolong bawa keluar dari kawasan rumah majikan dalam keadaan ketakutan trauma kena pukul tak di bagi makan .… pic.twitter.com/BmQzDURjg8
— MYNEWSHUB (@mynewshub) July 18, 2023
Pemandu e-hailing itu mendakwa wanita terbabit yang baru dua minggu tiba di Johor dalam keadaan ketakutan kerana trauma akibat dipukul dan tidak diberi makan oleh majikannya.
Terdahulu, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mengesahkan ada menerima kehadiran wanita warga asing itu kira-kira 12.30 tengah hari kelmarin.
Konsul Bahagian Penerangan dan Sosial Budaya KJRI Johor Bahru, Rizali Noor berkata, hasil temu bual mendapati wanita itu tiba di Malaysia pada 15 Jun lalu, namun tidak mengetahui nama serta alamat majikan atau agensi yang terbabit.
“Dia mengaku bekerja selama dua minggu dan diseksa majikan sebelum bertindak melarikan diri dari rumah majikannya kelmarin,” katanya.
Katanya, pihaknya sudah melakukan proses menghantar pulang wanita itu selepas membantu pengurusan pas khas dan check-out memo (COM) dari Jabatan Imigresen.