Anwar saman Muhyiddin RM200 juta, dakwa ‘putar belit’ kenyataan hutang Felda

Anwar saman Muhyiddin RM200 juta, dakwa ‘putar belit’ kenyataan hutang Felda

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta maaf dan membayar pampasan 200 juta ringgit kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka FELDA.

Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, Anwar menyatakan akan memulakan tindakan undang-undang jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Tan Sri Muhyiddin.

Menurut surat itu, permohonan maaf tanpa syarat dan tidak berbelah bahagi seperti yang dituntut Datuk Seri Anwar hendaklah dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan untuk disiarkan dalam akhbar dan media pilihan beliau.

Selain itu, Anwar menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutan beliau dan semua kenyataan yang didakwa fitnah diterbitkan berhubung isu pelupusan hutang peneroka FELDA serta-merta dan tidak berbelah bahagi serta memadamkan atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan dan bersifat fitnah.

“Penegasan anak guam kami (Anwar) bahawa anak guam kamu sengaja dan berniat jahat memfitnah dalam menerbitkan kenyataan tidak benar dan di luar konteks seperti terkandung di dalam surat tuntutan anak guam kamu bertarikh 18 Julai lalu dan harus membuat permintaan maaf yang tidak terizab kepada anak guam kami,” kata surat jawapan itu.

Berhubung surat tuntutan Muhyiddin bertarikh 18 Julai lalu, surat itu menegaskan bahawa Anwar sudah memberikan maklum balas dalam tempoh masa yang diberikan dengan membuat satu hantaran Facebook kenyataan media semalam.

Ia menyatakan bahawa tidak relevan di sisi undang-undang dan prosedur sama ada maklum balas itu dibuat melalui hantaran Facebook beliau atau melalui peguam caranya atau oleh kedua-duanya.

Oleh itu ia adalah satu salah tanggapan dan tindakan jahat oleh Muhyiddin untuk menyatakan kepada pihak media bahawa Anwar masih belum memberikan apa-apa maklum balas kepada dakwaan berkenaan.

Menurut surat jawapan itu, Muhyiddin dalam surat tuntutannya membuat rujukan kepada beberapa petikan daripada ucapan Anwar ketika majlis sambutan Hari Peneroka FELDA 2023 di Serdang, Selangor pada 7 Julai lalu dan ucapan pada dialog di Universiti Utara Malaysia keesokan hari.

“Kami diarahkan oleh Anwar bahawa beliau berdiri teguh dengan kenyataan dalam ucapannya dan menegaskan bahawa petikan yang dirujuk oleh Muhyiddin tidak memberikan gambaran sebenar ucapannya. Kenyataan Anwar juga disahkan dan disokong dalam hantaran Facebook oleh Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 8 Julai lalu.

“Lanjutan itu, transkripsi (perenggan ucapan) yang dinyatakan dalam surat tuntutan anak guam kami dipetik di luar konteks dan diputar belit semata-mata untuk memberikan suatu gambaran yang tidak benar dengan niat untuk memfitnah dan dengan sengaja tidak mengemukakan transkripsi penuh dan teratur ucapan oleh Anwar. Oleh itu, kenyataan oleh anak guam kami adalah benar,” katanya.

Surat jawapan itu juga menyatakan bahawa Anwar menegaskan bahawa Muhyiddin dengan sengaja dan berniat jahat memfitnahnya dalam menerbitkan kenyataan tidak benar dan di luar konteks.

Pada 19 Julai lalu, Muhyiddin menghantar surat tuntutan kepada Anwar dan menuntut Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka FELDA bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam.

Dalam kenyataan beliau malam tadi di Facebook, Muhyiddin memaklumkan meneruskan tindakan saman terhadap Anwar berikutan Anwar dalam kenyataannya pada hari sama gagal mendedahkan dokumen yang dimintaberkenaan pelupusan hutang peneroka.

Menurut Muhyiddin, dokumen yang dikemukakan Anwar bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka FELDA tetapi dokumen berkenaan sukuk dan menegaskan pendedahan dokumen berkenaan membuktikan beliau (Muhyiddin) bercakap benar.

Sehubungan itu, katanya oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka dalam tempoh 24 jam seperti mana yang terkandung dalam surat tuntutan, beliau sudah mengarahkan peguam untuk meneruskan tindakan saman fitnah (terhadap Anwar).