Anak tertelan cincin ibu berjaya diselamatkan
Sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas anak perempuan berusia dua tahun mereka tertelan sebentuk cincin. Kejadian dilaporkan berlaku di rumah mereka di Felda Kerteh 4 di sini pada semalam.
Kanak-kanak tersebut, Nur Syifaa Dahlia Mohd. Alif Zulfikar tertelan barang kemas tersebut pada jam 1 pagi. Menurut wanita tersebut, Nurhanis Junazeri, 21, dia dan suaminya, Mohd. Alif Zulfikar Sutling, 31, hanya menyedari akan insiden itu selepas mendapati anak mereka mengalami kesukaran untuk bernafas.
Jelas Nurhanis, dia meninggalkan anaknya sebentar di dalam bilik sebelum mendapati dia berada dalam keadaan sukar bernafas. Sambungnya lagi, pada mulanya dia menyangka kanak-kanak itu tercekik makanan, namun hanya menyedari akan situasi sebenar selepas diberitahu.
“Sebelum itu, saya dan Nur Syifaa Dahlia makan bersama di dapur. Saya tinggalkan dia sekejap untuk ke bilik sebelum mendapati dia sudah berada di ruang tamu dalam keadaan sukar bernafas.
“Anak saya menunjukkan lehernya dan pada mulanya kami ingatkan dia tercekik makanan sebelum diberitahu dia sebenarnya sudah tertelan cincin,” katanya kepada sumber.
Sejurus itu, Nurhanis dan suami membawa anak mereka ke Unit Kecemasan Hospital Dungun. Hasil imbasan x-ray mengesahkan sebentuk cincin berada di dalam perut kanak-kanak itu. Cincin berjaya dikeluarkan menerusi saluran najis pada pukul 12 malam tadi.