Ahli bina badan maut, patah leher ketika angkat barbell 180 kg

Ahli bina badan maut, patah leher ketika angkat barbell 180 kg

 

Seorang ahli bina badan di Bali, Indonesia dilaporkan maut ketika sedang bersenam di gim, lapor New York Post.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di The Paradise Gym pada Sabtu lalu ketika dia sedang mengangkat berat.

Pada waktu itu, Justyn Vicky yang berusia 33 tahun sedang melakukan ‘squat’ dengan mengangkat beban melebihi 180 kilogram di belakangnya.

“Vicky gagal menyempurnakan angkatan itu dan jatuh ke hadapan, lalu menyebabkan palang berat tersebut bergerak dari bahu ke paras belakang lehernya sehingga menyebabkan lehernya patah,” lapor Bali Discovery.

Berat itu telah menyentak kepala Vicky ke hadapan lalu mematahkan lehernya. Kejadian itu telah menyebabkan mampatan saraf ke jantung dan sistem pernafasannya, lapor Bali Express.

Vicky kemudiannya dilaporkan telah dikejarkan ke hospital, di mana dia telah disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya itu.

“Mas Vicky seorang yang baik, sopan dan mudah bergaul,” kata seorang jurulatih angkat berat, Gede Sutarya.

“Dia sentiasa mengajar tentang gim. Dia juga sering menasihati rakan-rakannya di gimnasium supaya berhati-hati untuk bersenam tidak melebihi kapasiti beban.

“Hanya diri kita sendiri yang boleh mengukur kebolehan kita sendiri. Saya harap Vicky pergi dengan tenang dan mendapat tempat yang sesuai di sana,” kata Gede lagi.

The Paradise Gym puji sifat keperibadian Vicky

Dalam pada itu, The Paradise Bali Bym dalam satu hantaran di Instagram mereka meratapi pemergian tersebut.

“Justyn lebih daripada sekadar pakar kecergasan. Dia adalah sumber inspirasi, motivasi dan penyokong yang tidak berbelah bagi. Tenaga dan semangatnya untuk membantu orang lain mengubah kehidupan mereka sangat menyentuh perasaan kami.

“Melalui senaman yang tidak terkira banyaknya serta kata-kata semangat dan bimbingan, dia telah menjadi sebahagian daripada perjalanan kecergasan kami,” tulis hantaran di Instagram gim tersebut.

Menurut hantaran muat naik gim itu lagi mereka menyatakan bahawa Vicky merupakan seorang yang positif.

Selain itu, Vicky juga sentiasa mempercayai potensi seseorang untuk berjaya dalam mengangkat sesuatu bebanan berat.

“Setiap sesi bersama Vicky terasa lebih daripada sekadar bersenam. Dia mencipta persekitaran yang memupuk semangat kami untuk mencabar diri kami secara fizikal dan mental.

“Kepercayaan beliau terhadap potensi kami telah mendorong kami mengatasi had kami. Dia juga telah mengajar kami untuk menemui kekuatan dan daya tahan baharu dalam diri kami,” tulis muat naik hantaran itu lagi.