Pemandu kancil maut tersepit dihempap kontena

Pemandu kancil maut tersepit dihempap kontena

 

Seorang lelaki dilaporkan maut selepas kereta yang dipandunya telah dihempap oleh sebuah kontena di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa, hari ini.

Memetik Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa yang dipercayai sedang memandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil telah terbabas lalu merempuh sebuah kontena.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, laporan kejadian telah diterima oleh pihaknya pada jam 4.46 petang.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Kancil dan sebuah kontena tanpa kepala yang dipercayai sedang memunggah barang ketika kejadian,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Zulfikar, mangsa dipercayai telah tersepit kesan daripada pelanggaran tersebut.

“Anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk menjalankan kerja mengeluarkan mangsa.

“Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.