Suami isteri sanggup jual bayi demi iPhone!

Suami isteri sanggup jual bayi demi iPhone!

 

Sepasang suami isteri dari negeri Bengal Barat, India tergamak menjual bayi mereka yang berusia lapan bulan demi membeli iPhone untuk merakam video, lapor Wion News.

Susulan kejadian itu, siasatan polis telah dijalankan dan ibu bayi lelaki tersebut telah ditahan. Bagaimanapun, bapa kepada bayi tersebut dikatakan sempat melarikan diri.

Kejadian itu telah dilaporkan oleh jiran keluarga tersebut yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena telah terjadi.

Jiran mereka yang tinggal di kawasan Panihati Gandhinagar mula curiga selepas menyedari ketiadaan kanak-kanak itu.

Selain itu, perubahan tingkah laku yang mendadak bagi pasangan itu telah menguatkan lagi kecurigaan jiran yang prihatin tersebut.

Sebelum ini, pasangan itu dikatakan mengalami masalah kewangan untuk menjalani kehidupan. Namun segalanya berubah secara tiba-tiba, mereka juga dilihat membeli iPhone dan pergi melancong negeri lain untuk merakam video.

Bayi lelaki berusia lapan bulan sudah tidak kelihatan

Apabila ditanya oleh jiran tentang keberadaan bayi tersebut, pasangan itu kemudiannya mengaku telah menjual anak mereka untuk mendapatkan wang.

Tidak lama selepas polis dimaklumkan, bayi itu berjaya diselamatkan daripada seorang wanita di kawasan Khardah.

Pasangan itu dipercayai menjual bayi mereka kepada wanita itu untuk mendapatkan wang dan membeli telefon bimbit. Wanita yang membeli bayi tersebut juga dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis.

Jiran-jiran juga mendakwa bahawa pasangan itu juga turut terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Difahamkan bahawa, pasangan tersebut juga mempunyai seorang lagi anak perempuan yang berusia tujuh tahun.

Menurut kenyataan seorang ahli majlis tempatan, pasangan itu dikatakan memasang niat untuk menjual anak perempuan tersebut.

“Selepas menjual bayi lelaki itu, bapa mangsa juga cuba untuk menjual anak perempuannya pada tengah malam Sabtu. Kami memaklumkan kepada polis sebaik sahaja kami mengetahuinya. Polis telah menangkap bapa kanak-kanak tersebut,” kata Tarak Guha, Ahli Majlis tempatan.

Pegawai polis menyatakan bahawa, masih tidak jelas sama ada bayi itu dijual kerana kemiskinan atau sebab yang lain.

Menurut seorang pegawai polis dari Pesuruhjaya Barrackpore, siasatan sedang dijalankan dan kes itu sedang diteliti dari segenap sudut.