Taktik licik akhirnya terbongkar, lelaki kantoi gajikan isteri guna duit syarikat
Seorang pekerja di India didakwa merangka rancangan licik menipu syarikat dengan memasukkan wang syarikat ke dalam akaun isterinya yang menganggur, lapor Wion News.
Penipuan berterusan selama lebih daripada sedekad itu difahamkan telah mengakibatkan syarikat kerugian besar.
Pada Disember tahun lalu, syarikat itu mula curiga dengan rekod yang dimanipulasi dan mereka kemudiannya memulakan siasatan dalaman.
Siasatan itu mengesahkan aktiviti penipuan tersebut, di mana syarikat itu telah mengambil tindakan yang tegas.
Minggu lalu, mereka telah memfailkan ‘First Information Report‘ (FIR) dengan Polis Delhi. Polis kemudiannya melancarkan siasatan lanjut mereka mengenai perkara tersebut.
Suspek yang bekerja di syarikat tersebut sejak 2008 lalu, memegang jawatan sebagai Penolong Pengurus Kewangan dan Pengurus Kewangan.
Lelaki itu bertindak sebagai orang penting antara vendor dan pelbagai jabatan seperti HR serta kewangan.
Dengan memiliki akses kepada data gaji bulanan dan pembayaran balik yang terhad kepada tiga pegawai, dia telah mengambil kesempatan itu untuk melakukan jenayahnya.
Setiap bulan, vendor gaji akan menyediakan pendaftaran gaji berdasarkan data yang disediakan oleh lelaki itu.
Pendaftaran itu kemudiannya akan melalui Pengarah (HR) dan Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO) untuk kelulusan.
Ia kemudiannya akan dihantar semula kepadanya untuk langkah terakhir pelepasan gaji kepada bank.
Pada peringkat terakhir itu suspek didakwa telah mengusik data dan secara rahsia memasukkan nama isterinya sebagai senarai penerima gaji.
Dia juga didakwa memanipulasi jumlah angka gajinya sendiri. Sebaik sahaja fail gaji yang dimanipulasi dimuat naik ke portal bank oleh beliau, semua gaji pekerja termasuk isterinya telah dipindahkan.
Selepas menjalankan siasatan dalaman, syarikat itu mendapati lelaki tersebut telah memuat naik fail gaji yang dimanipulasi menggunakan sistem komputer pekerja lain.
Lelaki itu kemudiannya dikatakan akan memadamkan fail daripada sistem untuk menutup jejak penipuannya.
Berikutan penggantungannya pada 11 Disember 2022, lelaki itu dipanggil di hadapan jawatankuasa dalaman untuk menjelaskan percanggahan itu.
Lelaki itu akhirnya mengakui telah melakukan penipuan dan secara haram telah memindahkanya sebanyak USD500,000 (RM2.2 juta) ke akaun bank isterinya.
Selain itu, lelaki itu turut mengakui menaikkan gajinya sendiri dan memindahkan lebih USD73,000 (RM332,000) ke dalam akaunnya.
Lelaki itu turut mendedahkan bahawa dia menggunakan wang itu untuk memperoleh hartanah di Delhi, Jaipur dan kampung halamannya di Odisha. Beliau juga mengakui melabur dalam dana bersama dan skim kewangan lain.
Siasatan dalaman syarikat itu juga mengesahkan bahawa mereka tidak pernah menggaji isteri lelaki itu dalam sebarang kapasiti untuk syarikat berkenaan.
Sumber: Wion News