Wanita bingung baju dalam kerap hilang, rupanya dicuri teman lelaki sendiri
Seorang wanita yang juga penuntut sebuah universiti awam terpaksa memutuskan hubungan dengan teman lelaki sebaik mengetahui tabiat pelik lelaki terbabit yang gemar mencuri dan menyimpan pakaian dalam yang diistilahkan sebagai ‘fetish seksual’ atau ‘parafila’.
Dia yang dikenali sebagai Shira (bukan nama sebenar), 30-an, berkata, Zul (bukan nama sebenar) yang dikenalinya adalah seorang yang baik dan datang daripada keluarga berpengaruh serta dihormati.
“Saya menjalin hubungan dengan Zul hampir empat tahun dan dia adalah teman lelaki yang paling menjaga batas hubungan kami.
“Kami menjalin hubungan jarak jauh yang mana Zul bekerja di utara tanah air dan saya belajar di Kuala Lumpur. Kebiasaannya, saya akan tumpang kereta dia untuk pulang ke kampung saya di utara tanah air apabila dia pulang ke rumah keluarganya di ibu kota.
“Saya percaya dengannya kerana Zul sangat menjaga batas hubungan kami dan tidak pernah mengambil kesempatan,” katanya.
Kata Shira, apa yang membingungkannya ialah pakaian dalamnya kerap hilang setiap kali pulang ke kampung dengan menumpang kereta Zul.
Akhirnya, ia terjawab apabila Shira melihat Zul mengambil dan menyembunyikan pakaian dalamnya.
“Ketika kejadian, saya baru keluar daripada tandas sebuah stesen minyak. Saya dapati Zul sedang menyelongkar beg pakaian kotor. Tabiat saya ialah, saya akan bawa pulang pakaian kotor untuk dicuci di kampung.
“Saya nampak Zul pegang sesuatu sebelum tergesa-gesa menyembunyikannya dalam poket seluar,” katanya.
Menurut Shira, Zul tidak perasan yang dia menyaksikan perbuatan terbabit. Shira kemudiannya memeriksa beg dan mendapati pakaian dalamnya hilang.
Dua minggu kemudian, Shira meminta Zul menghantarnya pulang ke kampung dan ketika berhenti rehat, lelaki terbabit sekali lagi mencuri pakaian dalamnya.
“Saya berpura-pura leka sebelum mendapati Zul secara senyap-senyap berusaha membuka zip beg pakaian saya.
“Saya kemudian berkongsi hal itu dengan keluarga yang kemudiannya meminta saya memutuskan perhubungan kami,” katanya.
Menurut Shira, dia kemudiannya memaklumkan kepada Zul berkaitan keputusannya untuk memutuskan perhubungan mereka serta sebab dia melakukannya.
Zul bagaimanapun tidak mengaku terbabit dengan perkara itu.
“Pada mulanya, Zul menafikan hal itu namun akhirnya mengakui mempunyai kegemaran pelik iaitu menyimpan pakaian dalam wanita tidak dicuci sejak zaman sekolah menengah lagi,” katanya.
Rasa puas, terangsang dapat curi pakaian dalam mangsa
Perbuatan mencuri pakaian dalam wanita daripada sudut psikologinya dikenali sebagai ‘fetish seksual’ atau ‘parafila’ yang mana ia membabitkan rangsangan atau kepuasan seksual yang diperoleh daripada mencuri atau memiliki objek itu.
Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pada masa sama, masyarakat perlu sedar bahawa tidak semua lelaki terbabit atau membenarkan tindakan keji itu.
“Mencuri pakaian dalam wanita juga memberi manifestasi kuasa atau penguasaan serta hubungan simbolik terhadap individu yang dapat memilikinya.
“Perbuatan itu boleh memuaskan secara psikologi pelakunya,” katanya.
Untuk rekod, golongan fetish seksual ini tidak termasuk dalam golongan orang kurang siuman.
Beliau berkata, pelaku itu juga akan merasa lebih dekat dengan individu berkaitan dalam fantasi mereka.
Selain itu, kata beliau, pelaku juga akan rasa teruja dan seronok apabila dapat melakukan sesuatu tingkah laku yang menyimpang, terlarang serta melanggar norma masyarakat.
“Sifat ini boleh meningkatkan rasa ghairah dan memberi kepuasan kepada individu berkaitan.
“Individu yang berdepan masalah itu perlu mendapatkan bantuan ahli psikologi, kaunselor atau pakar psikiatri untuk mengatasi masalah mereka,” katanya.
Ini kerana, menurut beliau, isu ini lebih bersifat peribadi dan kompleks.
“Adalah penting untuk mendekati pelaku terbabit dengan kepekaan dan pemahaman yang baik. Psiko-edukasi, muhasabah diri dan pemahaman isu.
“Terapi kognitif dan tingkah laku (CBT), komunikasi terbuka, peningkatan sokongan sosial dan kesabaran serta belas kasihan adalah teknik yang selalu digunakan untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
Menurut Dr Shazli Ezzat, perlu ditekankan bahawa bantuan profesional adalah penting dalam menangani dan mengurus tingkah laku fetish.
Wujud pusat khas tangani ketagihan seksual luar biasa
Kerajaan dicadangkan supaya mewujudkan pusat khas bagi menangani golongan yang berdepan ketagihan perlakuan seksual luar biasa bagi mendapatkan bantuan serta rawatan.
Cadangan itu dilontarkan penganalisis jenayah, Kamal Afendi Hashim kerana menurut beliau, ada dalam kalangan golongan itu mahukan bantuan namun tidak tahu bagaimana mahu mendapatkannya serta tempatnya.
“Bukan sahaja mereka yang ketagihan alkohol, gam dan dadah yang mahu kembali ke pangkal jalan, malah golongan yang ketagihan perlakuan seksual luar biasa juga mahu keluar daripada masalah itu.
“Ada dalam kalangan mereka mahukan bantuan tetapi tidak tahu bagaimana mahu mendapatkannya. Saya rasa, cadangan ini perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan Madani,” katanya.
Menurutnya, penyelewengan seksual adalah satu perkara yang kini menjadi kebiasaan dan dalam psikiatri forensik, ia dikenali sebagai fetish.
Katanya, pelaku akan menggunakan objek tertentu seperti pakaian dalam wanita untuk melakukan fantasi atau gerakan-gerakan tertentu bagi merangsang fantasi seksual dalam diri mereka.
“Ia bukan saja pakaian dalam malah membabitkan objek lain seperti baju, cawan atau apa sahaja objek yang sudah atau sedang digunakan individu disasarkan.
“Kes kecurian pakaian dalam juga mudah berlaku khususnya di premis dobi terbuka kerana ramai daripada kita meninggalkan pakaian yang sedang dicuci itu,” katanya.
Katanya, pelaku juga bukan terhad kepada peringkat umur tertentu sahaja.
“Sebaliknya, selain daripada dewasa serta warga emas, ia boleh berlaku dalam julat umur bermula daripada remaja,” katanya.