Mohd Amar MB yang baharu jika Pas menang Kelantan?

Mohd Amar MB yang baharu jika Pas menang Kelantan?

 

Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), esok, Pas mencadangkan Menteri Besar bagi Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Negeri Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikekalkan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas turut mencadangka perubahan gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar bagi Kelantan, dengan mengemukakan ‘gabungan’ kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh Agamawan dan seorang tokoh Teknokrat.

Beliau berkata, cadangan tawaran kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pas dan PN bagi tiga negeri berkenaan merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat, semalam di Rusila, Terengganu dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Mengekalkan Menteri Besar bagi Terengganu dan Kedah tertakluk kepada mandat rakyat dan ampuni perkenan Tuanku Sultan kedua-dua negeri.

“Perubahan gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sekarang bagi Kelantan dengan mengemukakan ‘gabungan’ kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan Tuanku Al-Sultan Kelantan,” katanya ketika penstriman langsung di Facebook parti berkenaan, hari ini.

Takiyuddin berkata, bagi gabungan jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang akan ditawarkan selepas PRN nanti tidak dinamakan.

Menurutnya, ia bagi menghormati mandat rakyat dan  juga  kuasa prerogatif atau kuasa mutlak Sultan Kelantan dalam hal pelantikan jawatan berkenaan.

Katanya, pihaknya menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab esok dengan memilih pemimpin yang prihatin, bersih dan berkebajikan serta berharap proses pilihan raya di enam negeri berjalan aman dan lancar.