“Dia merangkak sebut nama Allah” – Saksi terkilan, tak boleh tidur gagal selamatkan rider nahas Elmina
Salah seorang saksi berkongsi video berhubung insiden pesawat ringan dari Langkawi ke Shah Alam yang terhempas pada petang semalam di Elmina, Shah Alam dalam akaun Tiktok miliknya.
@affyndy yang sedang memandu lori di lokasi kejadian berasa terkilan kerana gagal menyelamatkan mangsa, seorang penunggang motosikal yang meminta bantuan selepas pesawat tersebut terjatuh sehingga meragut 10 nyawa.
Menerusi video berdurasi satu minit 20 saat itu, dia ternampak mangsa Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, merangkak menjauhkan diri dari motor yang terbakar.
Tanpa membuang masa, dia segera turun dari lori dan mencapai alat pemadam api selepas melihat mangsa yang juga bekerja sebagai penghantar bungkusan dalam keadaan terbakar manakala rakannya di tempat duduk penumpang menghubungi talian kecemasan.
Walau bagaimanapun, kekurangan alat pemadam api yang dibawanya itu gagal untuk memadamkan api pada badan mangsa yang masih merangkak cuba untuk menyelamatkan diri.
“Assalamualaikum selamat petang. Pesawat terhempas depan mata saya dan saya turun dari lori terdengengar arwah minta tolong.
“Saya ambil pemadam api yang ada di dalam lori dan terus pergi dekat arwah. Masa tu arwah masih bergerak dan saya terus pergi dekat arwah tembak pemadam api.
“Tapi pemadam api saya tak cukup untuk padam api di badan arwah,” tulisnya di ruangan kapsyen semalam.
Pada masa sama, @affyndy turut menceritakan detik menyedihkan apabila mendengar mangsa menyebut kalimah Allah sebelum meninggal dunia sekali gus membuatkan dirinya agak terkesan dengan insiden berkenaan.
Dia jerit sebut nama Allah
Masih terdengar suara arwah
Tak sanggup tengok arwah merangkak
Memetik laporan Berita Harian pula, jenazah Muhamad Hafiz dilaporkan dalam keadaan lengkap meskipun bahagian wajahnya kurang sempurna.