Tun M kata Zahid tak layak langsung kekal Presiden Umno
Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyindir Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak layak untuk terus berada di kerusi Presiden parti itu di sebalik banyak desakan supaya beliau berundur pada waktu ini.
Menurut Dr. Mahathir, beliau sedar rakyat dan ahli UMNO menolak kepemimpinannya dan berharap Zahid berundur daripada jawatan yang dipegangnya kini.
“Dia tak layak langsung (sebagai Presiden UMNO). Ada banyak tuduhan dikenakan terhadap dia.
“Zahid merasakan yang dia tidak akan dihukum jika dia pegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dia berharap tidak akan dihadapkan ke mahkamah.
“Saya berharap tidak ada pengaruh lain yang cuba menyelamatkan dia. Jangan pula kata kes Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh digugurkan, maka dia juga boleh. Kes kedua-duanya tidak sama,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian semasa ditemui pada satu sidang media yang diadakan di Yayasan Albukhary, di sini, hari ini.
Selain itu, ditanya mengenai kegoyahan struktur dan institusi UMNO kini, Dr. Mahathir mengkritik parti tersebut yang semakin ‘rosak’ kerana wujud amalan ‘Cash is King’.
“Kita lihat UMNO sebagai sebuah parti yang disokong oleh rakyat seluruh negara suatu ketika dulu sehingga kita dapat tewaskan British, mencapai kemerdekaan, malah, pembangunan juga berlaku di zaman pentadbiran UMNO.
“Namun, kini ada kalangan pemimpin yang tak utamakan perjuangan UMNO terdahulu dan mengamalkan ‘Cash is King’ yang akhirnya merosakkan parti.
“Sejak itu, kita lihat prestasi UMNO turun merudum. Daripada dahulu ada majoriti yang kuat semasa jadi kerajaan, sekarang ini dipandang hina oleh ahli-ahli parti sendiri. Ini bukan UMNO yang ditubuh, tetapi disabotaj oleh individu-individu yang mempunyai perjuangan berlainan,” katanya.