Hanya beberapa saat selamatkan guru dan 2 murid dengan ajal, tindakan pecut kereta potong pemandu Grab
Meskipun sudah dua hari berlalu, namun satu persatu kisah mengenai tragedi pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV yang terhempas di Elmina, Shah Alam, dikongsikan di media sosial.
Dalam satu perkongsian terbaharu, seorang wanita mendedahkan nahas tersebut nyaris mengorbankan dua anaknya yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah menaiki kereta yang dipandu guru mereka.
Menurut wanita itu dalam hantaran di akaun TikTok miliknya, @lilysazali22, kereta yang dinaiki oleh anak-anaknya bersama guru mereka hanya berada di hadapan kereta yang dirempuh pesawat berkenaan.
“Saya hampir kehilangan anak-anak saya semalam (Khamis), tetapi mereka dilindungi Allah.
“Allah gerakkan hati teacher (guru) untuk pecut. Sebak bila dia beritahu, hati dia cuma ingat anak-anak saya dekat belakang je. Dia cuma fikir nyawa anak saya masa tu.
“Yang paling sedih, anak saya tak pandai cakap, tak boleh bercerita macam anak-anak lain. Cuma sebut ‘teacher, boom.. boom’ tu je,” kongsinya dalam hantaran yang dibuat pada Jumaat.
Wanita tersebut terhutang budi kepada guru (gambar) yang menyelamatkan anak-anaknya.
Lily dalam pada itu turut memuat naik rakaman video daripada kamera papan pemuka (dashcam) yang menunjukkan kedudukan kereta yang dinaiki oleh anak-anaknya bersama guru mereka.
Menerusi video tersebut yang dirakam oleh dashcam sebuah kenderaan lain yang turut melalui jalan berkenaan pada waktu itu, kelihatan kereta yang dipandu guru anak-anaknya memotong sebuah kereta putih.
Hanya beberapa saat selepas melepasi kereta putih tersebut, kelihatan letusan api bersama asap hitam menjulang ke udara sebaik saja pesawat terhempas.
Difahamkan kereta putih tersebut dipandu oleh pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, yang terkorban dalam insiden tersebut.
Dalam perkongsian itu juga, wanita berkenaan melahirkan rasa syukur kerana anak-anaknya bersama guru mereka dilindungi-Nya daripada terlibat dalam nahas berkenaan.
Saya percaya guru itu telah banyak melakukan kebaikan dan menjadi asbab anak-anak saya pulang dengan selamat.
LILY SAZALI
Malah Lily berkata, dia terhutang budi kepada guru yang dipanggil ‘teacher’ itu sehingga ke akhir hayat kerana tindakan pantas yang dilakukan menyelamatkan nyawa anak-anaknya.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dan guru yang mempertaruhkan nyawanya untuk membawa anak-anak saya balik dengan selamat.
“Agak mengejutkan apabila berfikir bahawa perjalanan sejauh lima kilometer yang singkat boleh menjadi sangat berbahaya. Saya teringat ada terbaca petikan ayat mengenai musibah yang berlaku tetapi orangnya selamat… Ternyata doa ibu dan amal jariah adalah di sebaliknya.
“Saya percaya guru itu telah banyak melakukan kebaikan dan menjadi asbab anak-anak saya pulang dengan selamat,” tulisnya lagi.
Api marak dan kepulan asap hitam menjulang ke udara selepas pesawat terhempas.
Pada Khamis lalu, seramai 10 individu termasuk lapan orang di dalam sebuah pesawat ringan terbunuh selepas pesawat itu terhempas berhampiran Elmina di Selangor.
Turut terkorban, Exco Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ketua Umno Bahagian Bentong, Datuk Seri Johari Harun yang berada di dalam pesawat berkenaan.
Seorang pemandu e-hailing dan seorang pekerja penghantaran makanan yang menunggang motosikal di laluan tersebut, turut maut apabila pesawat itu terhempas.
Mereka dikenal pasti sebagai Sharipuddin Shaari dan Muhamad Hafiz.