Kota Makkah dilanda ribut ekstrem, detik menara jam Abraj Al-Bait disambar kilat dirakam netizen

Kota Makkah dilanda ribut ekstrem, detik menara jam Abraj Al-Bait disambar kilat dirakam netizen

Kota Mekah dan kawasan sekitarnya dilanda ribut petir dan hujan lebat semalam dan kejadian itu disifatkan antara yang terburuk selepas tragedi kren tumbang pada tahun 2015, menurut penduduknya.

Dilaporkan kejadian berlaku 10 minit sebelum waktu Maghrib, memaksa jemaah yang sedang menunaikan umrah dan solat di kawasan sekitar Masjidil Haram lari bertempiaran mencari perlindungan.

Kejadian itu turut memaparkan rakaman para pekerja pembersihan di pekarangan Kaabah yang berdepan kesukaran apabila angin bertiup kencang.

Rakaman detik menara jam disambar kilat

Dalam pada itu senario yang jarang berlaku itu turut memperlihatkan kilat menyambar menara jam Abraj Al-Bait yang dikenali sebagai Menara Jam Mekah.

Beberapa pengguna media sosial berkongsi gambar dan video tersebut yang menunjukkan kilat menyambar serta menerangi langit selama kira-kira 4 saat.

Dalam pada itu, Pusat Meteorologi Kebangsaan di Arab Saudi melaporkan bahawa awan petir kumulus akan berada di kawasan Asir, Jazan, Al-Baha dan Mekah yang dijangkakan akan berlaku hujan sederhana hingga lebat.

Pihak berkuasa tempatan menyifatkan, hujan ribut berkenaan sebagai rahmat untuk Kota Mekah berikutan suhu di seluruh wilayah Arab Saudi semakin meningkat.

Laman web ramalan cuaca, Arab Weather turut menyatakan bahawa wilayah barat daya dan barat negara itu menyaksikan aktiviti cuaca luar biasa sepanjang minggu lalu yang membawa kepada hujan dengan intensiti berbeza-beza.