PRK Pulai: Tidak berputus asa, Suhaizan cuba nasib kali ke-tujuh, yakin dapat sokongan pengundi
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kayat tidak berputus asa, apabila terus mencuba nasib bertanding buat kali ketujuh apabila menjadi calon Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September depan.
Suhaizan, 50, berkata pemilihan dirinya sebagai calon dibuat berdasarkan beberapa faktor namun paling utama ialah pengalaman dimiliki sebagai Setiausaha Politik kepada penyandang Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Bekas Speaker DUN Johor sebelum ini pernah bertanding antaranya di DUN Pulai Sebatang, DUN Kukup, DUN Kempas dan Parlimen Simpang Renggam.
“Selepas pemergian Allahyarham (Salahuddin) orang pertama saya jumpa dalam Pulai adalah Nur Jazlan. Saya jumpa sebab kami sudah lama bersama, tetapi dalam platform berbeza, ini kali pertama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Selain Nur Jazlan, saya juga bertemu kepimpinan UMNO negeri, mereka menunjukkan komitmen yang sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengenalan calon PH oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini pada Khamis.
Sementara itu, calon PH di DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman, 56 berkata, sebagai anak jati Sungai Jeram, beliau yakin akan mendapat sokongan pengundi di kawasan itu pada PRK ini.
Malah ujarnya, penduduk kawasan itu sudah biasa melihatnya mengikuti pelbagai aktiviti yang sebelum ini diadakan penyandang Ahli DUN Simpang Jeram, Salahuddin di kawasan terbabit.
“Sebelum bertanding pun saya sudah ikut Salahuddin. Saya memang sentiasa mengikuti aktiviti beliau terutamanya dalam menyantuni rakyat khusus di DUN Simpang Jeram.
“Saya mahu meneruskan, misi dan visi yang sudah diatur oleh Allahyarham (Salalhuddin) terutama berkaitan dengan inisiatif Rahmah,” katanya.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian Salahuddin pada 23 Julai lalu.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam akibat pendarahan otak.