“Umno bakal berkubur di Johor” – Zahid enggan layan provokasi Sanusi

“Umno bakal berkubur di Johor” – Zahid enggan layan provokasi Sanusi

 

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan melayan provokasi Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyatakan UMNO bakal berkubur di Johor.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan ‘kegilaan’ Menteri Besar Kedah itu yang sering dan gemar membuat provokasi terhadap BN dan Kerajaan Perpaduan.

“Tanya dengan dia (Sanusi) kenapa cakap macam itu (dakwa UMNO bakal berkubur di Johor).

“Saya tiada hak untuk pertikaikan kegilaan seseorang,” katanya ringkas.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengiringi calon PH di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat untuk proses penamaan calon.

Semalam, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah menyifatkan Johor bukan lagi kubu kuat UMNO.

Beliau turut memberi bayangan parti berusia lebih tujuh dekad itu akan terkubur disebabkan gelombang PN yang semakin melebar.

Katanya, ia susulan gelombang PN yang melanda enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu itu tidak lagi boleh disekat, sekali gus akan memberi kemenangan kepada pada gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Rabu lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dilaporkan berkata dakwaan gelombang PN bakal melanda negeri ini susulan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, bagai bermimpi di siang hari.

Nur Jazlan dilaporkan berkata PN yang membabitkan BERSATU, PAS dan GERAKAN tiada kekuatan di Johor.