Awas! Scammer menyamar jadi polis, ada yang kena tipu RM180 ribu

Awas! Scammer menyamar jadi polis, ada yang kena tipu RM180 ribu

 

Seorang pesara kerajaan kerugian wang sebanyak RM186,350 ditipu oleh sindiket penghantaran barang yang menyamar sebagai pegawai polis bergelar Datuk, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, mangsa berumur 42 menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku pegawai di Pejabat Pos Kuala Lumpur dan memaklumkan terdapat satu bungkusan yang mengandungi kad pengenalan milik mangsa serta beberapa kredit kad yang dihantar ke Sarawak.

Katanya, mangsa kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka dan dia menafikan berkenaan penghantaran bungkusan itu.

“Mangsa kemudiannya diminta membuat aduan dalam talian dan disambungkan kepada suspek kedua iaitu seorang pegawai polis bergelar Datuk yang mengarahkannya untuk memindahkan wang sebanyak RM146,450 ke akaun yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan pegawai AMLA.

“Mangsa yang cemas dan ketakutan membuat transaksi deposit tunai dan pindahan wang berjumlah keseluruhan sebanyak RM186,450 ke enam akaun membabitkan 38 transaksi bermula 24 hingga 26 Ogos,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mangsa turut dimaklumkan proses siasatan itu mengambil masa setengah jam dan akan menghubunginya semula selepas mendapat hasil siasatannya.

“Selepas 30 minit berlalu mangsa menghubungi nombor talian itu semula namun tidak mendapat sebarang maklum balas malah nombor taliannya turut disekat.

“Mangsa yang sedar dirinya ditipu dan membuat laporan polis. Siasatan masih dijalankan dan Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.