Lelaki mengamuk belasah pekerja kedai makan gara-gara lambat hantar makanan
Baru-baru ini, tular satu video dua individu mengamuk dan membelasah dua pekerja kedai makan kerana makanan yang dipesan sampai lambat, difahamkan kejadian ini berlaku di Jalan Perhentian Haji Salleh.
Menurut Harian Metro, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 5 pagi, mangsa dipukul menggunakan cota dan topi keledar serta ada yang memukul kepala mangsa dengan penyapu selepas memaki hamun.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek melakukan perbuatan tersebut selepas 30 minit pesanan dibuat.
“Memandangkan gerai baru sahaja dibuka, pekerja wanita memberitahu pesanan tidak dapat dibuat dengan segera, menyebabkan suspek memaki hamunnya.”
“Suspek beredar selepas pesanannya diambil, namun kembali semula 30 minit kemudian dan memaki hamun pemilik gerai, selain memukul kepala pekerja dengan penyapu.”
Pekerja kedai makan dibelasah kerana lambat terima pesanan
SENTUL – Dua lelaki ditahan selepas memukul dua pekerja kedai makan kerana lambat menerima pesanan di sebuah kedai makan di Jalan Perhentian Haji Salleh, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten… pic.twitter.com/KChrcSuLfx
— MYNEWSHUB (@mynewshub) August 26, 2023
Jelasnya lagi, pekerja wanita berusia 44 tahun ada membuat laporan polis pada 8.03 pagi, tetapi selepas selesai urusan kira-kira 8.30 pagi, suspek sekali lagi ke premis itu bersama rakan serta menyerang dua pekerja.
“Suspek juga merosakkan peralatan di gerai tersebut menyebabkan kerugian RM12,000 dan mangsa yang ketakutan terus menghubungi talian 999.”
“Anggota kereta peronda (MPV) dihantar ke tempat kejadian dan berjaya memberkas kedua-dua suspek di kedai bersebelahan lokasi kejadian.”
Pihak polis telah merampas beberapa objek yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu termasuk cota dan topi keledar berwarna biru. Bahkan, semakan mendapati bahawa salah seorang suspek ada 9 rekod jenayah lampau.
Tambah beliau, suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol. Kedua-dua mereka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan.