Bolehkah orang Islam minum tuak? Ini perkara yang ramai tak tahu tentang air tuak
Tuak merupakan sejenis minuman tradisi yang popular dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Masyarakat Sarawak akan menghidangkan air tuak untuk tetamu mereka yang datang ke rumah. Air tuak telah menjadi minuman rutin harian mereka.
Tuak mempunyai pelbagai jenis, ada tuak beras, tuak kelapa dan tuak nipah. Ketiga-tiga jenis tuak ini berbeza mengikut cara penghasilan oleh suku kaum yang berlainan.
Jom kita ketahui fakta air tuak yang popular ini!
1.Tuak beras diminum oleh masyarakat Dayak di Sarawak
Tuak beras yang dihasilkan oleh masyarakat Dayak diperbuat daripada sejenis beras khas iaitu beras pulut.
Cara pembuatannya adalah dengan merendam beras dalam air di dalam tempayan. Proses ini dikenali sebagai tajau.
Mereka akan merendam selama dua minggu supaya beras tersebut menjadi tapai. Ada yang suka rendam lebih lama untuk rasa yang lebih enak.
Kini, pembuatan tuak juga diubah suai oleh orang zaman sekarang. Ada yang campur gula pasir supaya tuak itu manis apabila diminum.
Tuak dihidang semasa hari Gawai Dayak, Gawai Hantu dan Gawai Burung. Ia sebagai simbolik kepada petara untuk menerima keberkatan untuk pesta menuai.
2. Tuak nira (tuak kelapa/nipah) popular dalam kalangan masyarakat Terengganu dan Kelantan
Maksud tuak adalah nira iaitu minuman yang dihasilkan daripada kandungan gula dari mayang kelapa sebelum bertukar menjadi alkohol.
Proses pembuatan tuak nira adalah dengan menyadap mayang pohon kelapa atau nipah. Air manis yang menitik akan dikumpulkan dalam sebuah bekas buluh. Air tersebut dipanggil air nira kerana tanpa kandungan alkohol.
Namun, air nira tersebut boleh bertukar alkohol jika melalui proses penapaian selama beberapa hari. Kemudian, ia dipanggil tuak yang kebiasaannya dihidangkan di majlis perkahwinan. Tuak yang diperam lama akan menjadi masam seperti cuka.
3. Tuak juga dikenali sebagai Buraq/Burak bagi masyarakat Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Kelabit dan sebagainya
Proses pembuatan dan perisa burak sama dengan tuak beras yang dihasilkan oleh orang Dayak.
Kebanyakan generasi lama telah berhenti membuat burak sejak memeluk agama Kristian yang melarang mereka mengambil minuman alkohol. Namun begitu, generasi muda mula membuat burak untuk mengekalkan budaya mereka.
4. Masyarakat Iban pula mempunyai dua jenis tuak
Mereka menggelarkan Tuak Indu dan Tuak Laki. Tuak Indu merupakan tuak yang manis digemari oleh kaum perempuan berbanding kaum lelaki. Tuak yang manis mempunyai alkohol yang rendah.
Manakala, tuak pahit atau dikenai sebagai Tuak Laki digemari oleh kaum lelaki.
5. Haram hukumnya jika orang Islam minum air tuak
Air nira yang manis dan popular di semenanjung boleh diminum, syaratnya belum beralkohol. Jika air tuak yang masam dan memabukkan, ia adalah haram diminum kerana air tersebut telah diperam sehingga keluarnya buih dan menjadi alkohol.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk semua!