Rupanya ini maksud kod warna pada bungkusan beras yang ramai tak tahu, bukan saja-saja letak

Rupanya ini maksud kod warna pada bungkusan beras yang ramai tak tahu, bukan saja-saja letak

 

Beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia. Berbekalkan fakta itu, hampir semua kedai runcit yang berdiri di atas tanah air bertuah ini pasti menjual beras.

Malah, pilihan yang ditawarkan juga pelbagai. Ada beras import, ada beras tempatan, ada beras perang, ada beras wangi dan juga beras panjang.

Jika kita membeli-belah di pasar raya besar, ada satu seksyen khas disediakan untuk beras. Di bahagian tersebut, pilihlah beras yang anda mahu kerana semua jenis beras ada dijual. Daripada yang paling murah hingga yang paling mahal, semua ada.

Dalam pada itu, semasa membeli beras, pernah tak anda perasan dengan satu ciri khas yang sangat signifikan pada bungkusan beras?

Tidak kisah apa jenama sekali pun, setiap rekaan bungkusan beras mesti memiliki bahagian berwarna pada bahagian bawah bungkusan tersebut.

Anda juga dapat melihat ‘bahagian berwarna’ ini dengan jelas menerusi katalog-katalog pasar raya. Antara warna yang sering dilihat adalah seperti warna ungu dan warna biru muda.

Mungkin ini hanya bersifat kebetulan sahaja atau berkemungkinan, pereka grafik bagi bungkusan plastik beras ini balik-balik individu yang sama?

Namun, tekaan anda silap kerana bahagian berwarna pada bahagian bawah bungkusan sebenarnya label bagi mengenalpasti jenis beras.

Setiap warna label pada bungkusan beras melambangkan jenis beras yang dijual dalam pasaran di Malaysia

Perkara ini telah dijelaskan menerusi sebuah video yang dikongsikan oleh pihak Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia Perak (KPDN Perak) menerusi akaun rasmi TikToknya (@kpdn_perak).

Pegawai KPDN yang dikenali sebagai Encik Anuar memberitahu bahawa setiap warna pada label bungkusan beras ini mewakili jenis beras yang dijual di pasaran runcit.

Pertama sekali, beliau menunjukkan bungkusan beras bagi beras putih tempatan. Bagi beras jenis ini, warna label bungkusan yang digunakan adalah berwarna ungu.

Seterusnya, Encik Anuar beralih pada bungkusan beras yang menggunakan label berwarna biru muda. Jelasnya, label berwarna biru muda menunjukkan bahawa beras tersebut merupakan beras import.

Ada satu lagi jenis beras putih yang ditawarkan dalam pasaran namun mungkin orang ramai jarang-jarang membelinya.

Beras tersebut adalah beras wangi dan harganya juga premium berbanding beras putih yang lain. Bagi beras ini, kod warna yang digunakan adalah warna merah jambu.

Akhir sekali, bagi beras istimewa seperti beras basmathi dan sebagainya, warna label yang digunakan adalah berwarna jingga.

Menurut Encik Anuar, antara semua jenis beras yang dijual dalam pasaran, hanya harga beras putih tempatan yang dikawal harganya.

“Beras putih tempatan adalah beras yang dikawal harganya oleh pihak kerajaan iaitu, RM26 sahaja untuk 10 kilogram (kg),” ujarnya.

Menurut infografik Berita RTM, beras putih tempatan dijual pada harga RM 2.60 sekilogram.

@kpdn_perak

KENALI JENIS JENIS BERAS DIPASARAN MALAYSIA #beras #kpdn #kpdnperak #unitmedia_kpdnperak #kpb #fendyscreative

♬ Moment of Truth – Carlos Estella

Itu sahaja. Semoga info ini bermanfaat untuk anda ketika ke pasar raya untuk membeli beras.