“Cari pahala ya, nanti saya jawab” – Abby Abadi

“Cari pahala ya, nanti saya jawab” – Abby Abadi

 

Susulan kontroversi membabitkan anak perempuan kepada pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi, Marissa Dania Hakim, 18, yang dikaitkan dengan kes penyondol, Abby tampil bersuara melalui media sosialnya.

Bekas anggota kumpulan Elite itu memuat naik di Instagram Story miliknya dan berkata beliau akan menjawab mengenai isu itu.

“Tentang isu yang viral, takpa sila komen-komen dulu.

“Cari pahala ya, nanti saya jawab. Memang sedap bersangka-sangka, menambah-nambah cerita dan menuding jari pada orang,” tulisnya.

Kecoh dalam media sosial mengenai seorang wanita mendedahkan, seorang gadis berusia 18 tahun yang juga anak kepada pasangan selebriti, dikatakan menjadi penyebab kepada keruntuhan perkahwinannya.

Meluahkan perasaan di platform X semalam, wanita itu mendakwa gadis yang berstatus pempengaruh media sosial dan berimej muslimah itu menjadi penyondol rumah tangga dibina selama tiga tahun.

Tambah memburukkan keadaan, wanita itu turut menampilkan bukti resit dan mendakwa gadis itu ‘kantoi check-in’ bersama bekas suaminya.

Dakwanya, biarpun gadis itu bersama keluarga datang memohon maaf dan tidak mahu lagi mengganggu rumah tangganya, namun ia hanya janji kosong apabila perceraian tetap berlaku.

Pada masa sama, wanita itu mendakwa sudah meminta izin kepada Abby Abadi dan Norman Hakim untuk menularkan kisah kecurangan dalam media sosial dan sudah membuat laporan polis.

“Keluarga pihak sana memang tahu. Ya, isu nak viralkan ini memang tiada ‘solusi’ nak hentikan anak mereka sendiri. Dari mereka juga keizinan viral kisah ini,” tulisnya.

Sementara itu, Instagram Norman, Abby dan Memey Suhaiza juga didapati diserang netizen sejak kisah pendedahan itu dikongsikan, malam semalam.