PM ucap terima kasih kepada pengundi Pulai dan Simpang Jeram atas sokongan padu terhadap Kerajaan Perpaduan

PM ucap terima kasih kepada pengundi Pulai dan Simpang Jeram atas sokongan padu terhadap Kerajaan Perpaduan

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai pemimpin Kerajaan Persekutuan menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pengundi atas kejayaan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Pulai baharu, Suhaizan Kayat dan ADUN Simpang Jeram baharu, Nazri Abdul Rahman atas kejayaan mempertahankan kedua-kedua kerusi itu di tangan Kerajaan Perpaduan.

“Tahniah saya ucapkan kepada saudara Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

“Penghargaan saya buat semua pengundi yang yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara,” ujarnya menerusi hantaran terbaharu di Facebook yang kini mendapat lebih seribu reaksi sebentar tadi.

Anwar juga menyifatkan keputusan tersebut ternyata suatu perkembangan yang positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan.

“Keputusan ini ternyata suatu perkembangan yang positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan,” tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan rasa syukur atas PH menang di kedua-dua kerusi parlimen dan DUN berkenaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jentera parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang bekerja keras memastikan kemenangan itu, serta semua pengundi yang memilih calon PH.

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih jentera dan pengundi P 161 Pulai dan N 13 Simpang Jeram,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam ini.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kemenangan gabungan PH-BN di kedua-dua kerusi itu adalah bukti rakyat mula menolak ‘gelombang hijau’ dan fahaman ekstrem yang dibawa Perikatan Nasional (PN).

Mohamad berkata, semua pihak perlu terus bekerja keras dalam membuktikan kesepaduan yang terjalin antara PH dan BN dapat membawa kemakmuran kepada negara.

“Terima kasih kepada seluruh petugas yang telah berusaha keras sejak dari awal kempen lagi. Terima kasih kepada rakyat Johor yang memberi keyakinan kepada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Nada serupa dizahirkan pemimpin KEADILAN yang berkata kemenangan itu membuktikan rakyat lebih mementingkan pentadbiran dan kepimpinan cekap serta berkemahiran dengan mengundi calon yang dipertaruhkan Kerajaan Perpaduan.

“Mereka (rakyat Johor) memang dari dulu sangat mementingkan dasar pembangunan dari segi prestasi dan kecekapan untuk mentadbir.

“Selain Lembah Klang dan Pulau Pinang, Johor adalah satu lagi enjin pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau yang disiarkan di X (dahulu Twitter) sebentar tadi.

Pada PRK hari ini, Suhaizan dan Nazri masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.