Penumpang MAS luah rasa kecewa, bayar beribu tapi dapat roti kualiti murah
Selepas Malaysia Airlines (MAS) mengumumkan penamatan kontrak dengan Brahim yang bertahun-tahun menjadi penyedia makanan untuk penerbangan itu, banyak aduan dikongsi di media sosial berkenaan kualiti sajian dan perkhidmatan yang agak teruk.
Dilaporkan, ada penumpang yang menaiki penerbangan kelas bisnes, tetapi hanya dihidangkan ‘mealbox’ berupa roti-roti yang dikatakan murah, air mineral dan sebiji epal.
Baru-baru ini juga seorang penumpang MAS meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan syarikat penerbangan tersebut yang tidak lagi premium.
Pelanggan yang menaiki pesawat MAS untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuching berkata, kos ribuan ringgit yang dibelanjakan langsung tidak berbaloi dengan perkhidmatan diterima.
Menerusi perkongsian tersebut, dia yang membeli tiket kelas ekonomi telah menyenaraikan tiga perkara mengecewakan dengan perkhidmatan terkini penerbangan MAS.
Menurutnya, tiada lagi hiburan di dalam penerbangan kerana skrin sudah tidak tersedia dan pelanggan perlu menggunakan peranti sendiri dengan wifi dalam penerbangan.
Namun lebih mengecewakan kerana capaian internet di dalam penerbangan lemah, menyebabkan dua jam penerbangan menjadi bosan.
Selain itu, penumpang tersebut turut kecewa dengan menu makanan yang dihidangkan iaitu hanya sekotak hidangan terisi beberapa keping roti berkualiti murah, sebiji epal dan air mineral mini.
Penumpang berkenaan turur mempertikaikan mengapa mengenai bantal dan selimut tidak lagi diberikan untuk keselesaan penumpang.
Pun begitu, dia mengharapkan agar perkhidmatan MAS dapat diperbaiki dan dipertingkatkan pada masa akan datang.