Rimas suami asyik pulang rumah mentua, wanita menyesal kahwin lelaki sekampung

Rimas suami asyik pulang rumah mentua, wanita menyesal kahwin lelaki sekampung

 

Seorang wanita di Indonesia berkongsi  kisah hidupnya yang berasa tidak senang dengan tindakan ibu mentua dan adik iparnya yang sering meminta suami pulang ke rumah mereka tanpa mengira waktu, lapor portal berita Wolipop.

Berdasarkan hantaran yang dikongsi di laman TikTok, wanita bernama Melin Amelia itu berkata, dia dan suami tinggal berdekatan rumah keluarga mentuanya di kampung sama.

Disebabkan itu, mentua dan adik iparnya sering meminta suaminya pergi ke rumah mereka setiap hari untuk menyuruh lelaki tersebut melakukan pelbagai perkara.

“Kadang kala, suami belum pun bangun daripada tidur tetapi mereka sudah menyuruh dia pergi ke sana. Tanpa mengira waktu pagi, petang, siang, malam, ada sahaja perkara yang mereka minta suami lakukan,” ujarnya.

Tambah Melin, adik iparnya juga sering menyuruh suaminya pergi ke rumah ibunya semata-mata untuk meminta wang bagi membeli makanan ringan.

“Sekurang-kurangnya mereka perlu faham bahawa suami saya sudah mempunyai tanggungjawab sendiri kerana sudah berkeluarga. Boleh sahaja mahu meminta tolong anak sendiri tetapi jika hampir setiap hari bahkan sehari berkali-kali, saya berasa seperti saya tidak dihargai,” katanya.

Hantaran tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.

“Suruh suami tegur adik ipar anda. Saya juga begitu ketika baru berkahwin sampaikan bergaduh dengan keluarga mentua kerana setiap kali mereka meminta sesuatu, suami perlu ada dan perlu tunaikan,” kata seorang pengguna media sosial.

“Si suami perlu bertegas dengan keluarganya. Biar ada batasnya,” ujar netizen lain.