“Ia melibatkan banyak pihak” – Syafiq Kyle buat pertama kali buka mulut mengenai isu pembatalan perkahwinan dengan Mimi Lana
Pelakon, Syafiq Kyle memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai konflik hubungan dengan aktres, Mimi Lana.
Menurut Syafiq, isu tersebut melibatkan banyak pihak dan telah pun diselesaikan.
“Saya ambil maklum tentang isu ini, terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mengambil berat tentang saya dan pihak Mimi.
“Saya harap isu ini tidak lagi diulas lanjut sebab perkara ini melibatkan banyak pihak, saya mengambil pendekatan ini untuk menghormati kedua-dua belah pihak iaitu saya dan Mimi.
“Perkara ini selesai secara baik antara kita jadi saya rasa perkara ini tidak perlu diulas lanjut lagi dan tiada lagi follow up,” jelasnya.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media filem berjudul Doh bertempat di Taman Kolonial, Bangunan Sultan Abdul Samad.
Mengulas mengenai hubungannya dengan Mimi, Syafiq menjelaskan buat masa ini dia mahu memberikan fokus terhadap kerjaya dan keluarga.
“Buat masa sekarang ini saya ambil pendekatan untuk mengambil masa masing-masing, ruang dan fokus pada keluarga serta kerja,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, lain Syafiq muncul dengan filem Doh bersempena dengan Hari Malaysia.
Doh merupakan naskhah pertama yang dihasilkan oleh produksinya sendiri iaitu Indigo Films.
Terdahulu, majlis pernikahan pasangan selebriti terkenal, Mimi Lana dan Syafiq Kyle yang sepatutnya diadakan pada 18 Ogos lalu dibatalkan.
Untuk rekod, hubungan pasangan ini dikatakan pernah terlerai pada Mei 2020 selepas lima tahun menyulam cinta namun kembali bertaut apabila masing-masing dilihat berkongsi gambar di media sosial.
Mimi dan Syafiq bertunang pada 21 Januari 2023.