Ramai tak tahu bagaimana nak atasi si kucing yang gemar cakar perabot

Ramai tak tahu bagaimana nak atasi si kucing yang gemar cakar perabot

 

Bagi pencinta kucing yang memeliharanya, anda pasti sudah biasa dengan tabiat dan kenakalan si comel yang gemar mencakar perabot dan benda-benda lain yang ada di dalam rumah.

Tingkah laku kucing mencakar dan menggesel merupakan satu kebiasan, tapi ia pasti akan meninggalkan kesan pada perabot kesayangan anda.

Walaupun kucing kelihatan nakal apabila mencakar perabot, sifat ini merupakan keinginan semula jadi dan ia mempunyai sebab mengapa gemar mencakar barang, termasuk melatih kekuatan otot kaki depannya.

Mencakar merupakan tabiat kucing untuk melepaskan geram, lebih-lebih lagi apabila terdapat sofa jenis fabrik.

Nak marah, tapi sayang si comel ini. Maka kita cuba cara lain untuk mengatasinya.

Apa yang boleh anda lakukan ialah melatih kucing untuk mencakar pada objek lain yang dikhaskan.

Bagi yang memiliki kucing sejak usianya kecil, anda digalakkan untuk mengamalkan rutin memotong kukunya seawal usia.

Sedikit sebanyak ia dapat membantu untuk selamatkan perabot atau sofa anda dari terus dicalar dari masa ke semasa.

CARA KUCING CAKAR

Kucing anda mempunyai sebab mengapa ia mencakar barang dan akan dilakukan dengan pelbagai cara.

Mencakar dikatakan salah satu interaksi atau komunikasi untuk menguasai sesuatu sudut atau kawasan.

Semasa mencakar, keringat atau rembesan dari kucing akan terhasil dan mudah melekat pada permukaan sofa atau benda-benda yang dicakar.

Selalunya kucing akan lebih ghairah mencakar bila berada di depan pemilik atau tuannya. Ia ingin menunjukkan tanda menguasai sesuatu tempat itu.

Bagi kucing jenis liar pula. Pokok merupakan tempat sasaran untuk kucing melakukan aktiviti mencakar.

Mencakar perabot, sofa dengan mengheret kuku hadapannya ke bawah pastinya merupakan rutin biasa dari masa ke semasa. Ia merupakan amalan tetap kucing dan terdapat pelbagai sebab ia gemar mencakar perabot di sekeliling rumah.

Dengan mencakar, selaput luar kuku kucing akan menjadi longgar. Ia akan membolehkannya untuk membuang selaput luar dan mendedahkan kuku yang lebih tajam dibawahnya.

Proses mencakar perabot juga adalah cara untuk ia mengasah kuku yang juga digelar ‘stropping’.

ELAK PERABOT DICAKAR

Apa pun cara kucing semasa mencakar, yang nyata sebagai pemiliknya anda tidak boleh hentikan sama sekali tabiat yang digemari oleh kucing kesayangan. Namun apa yang boleh dilakukan ialah dengan melatih kucing-kucing anda untuk mencakar pada objek yang dikhaskan selain mencuba acara-cara berikut.

Tiang mencakar

Digelar ‘scratching post’, kucing lazimnya gemar mencakar bila bangun dari tidur dan selepas makan.

Lantas, anda digalakkan untuk letak ‘scratching post’ ini berhampiran dengan sudut kegemaran mereka selain perabot.

Pelekat

Selalunya kucing tidak gemar dengan benda-benda yang melekat pada bulu atau tapak kaki.

Anda boleh gunakan pelekat ‘double-sided’ yang tidak memudaratkan atau meninggalkan kesan pada permaidani selain sofa.

Pelekat yang mempunyai ciri lutsinar mudah memperdayakan si comel yang degil.

Semburan

Cara ini dikatakan paling mudah dan popular, tidak hairanlah jika ia menjadi pilihan ramai. Pastikan botol semburan atau ‘spray’ ada berhampiran perabot.

Apabila anda nampak kucing kesayangan ingin atau dalam percubaan untuk mencakar, cuba tegas mengelakkannya dengan berkata ‘No’ dan semburkan percikan air dari botol.

Namun, cara ini didapati kurang berkesan kerana anda tidak dapat memantau pergerakkan kucing sepanjang masa di rumah.

Tapi, ia dapat membantu jika anda ada di rumah ketika ia cuba untuk mencakar.

Potong kuku

Jadikan sebagai satu rutin. Pastikan untuk memotong kuku kucing dari masa ke semasa kerana ia dapat membantu mengurangkan tabiat mencakar.

Rutin ini sebaik-baiknya mula dilakukan semasa ia masih kecil lagi.

Catnip

Kucing ada kalanya boleh bertindak melepaskan geram atau mencakar apabila ia berasa tertekan atau bosan. Kucing sering tertarik pada bunyi, bau dan pergerakan.

Oleh itu, anda bolehlah sediakan mainan atau catnip untuk bermain semasa bersantai.

Kepingan aluminium

Kertas timah atau aluminium foil merupakan sesuatu yang tidak digemari kucing kerana sifatnya yang bercahaya dan bunyinya bising. Kucing selalunya tidak gemar kencing di atas kepingan aluminium ini kerana bunyinya.

Letakkan kepingan aluminium di tempat-tempat yang kucing gemar mencakar.

Alat sensor

Letakkan alat penggera saiz kecil, ringan dan mudah dialih serta menggunakan bateri di tepi langsir atau sofa. Setiap kali kucing menyentuh atau terdapat gegaran, alat ini akan berbunyi bising dan akan membuat si kucing lari serta merta.

Anticakar

Produk ini didapati dapat bertahan anggaran 12 hingga 24 jam setiap semburan.

Namun selalunya produk ini dikatakan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan pada kucing termasuk manusia.

Jika ingin menggunakannya, semburkan pada tempat yang anda tidak mahu kucing cakar termasuk perabot dan sebagainya.

Sebelum itu, pastikan ia sesuai untuk jenis perabot anda agar tidak akan menjejas penampilannya atau permukaannya kelak.

Duit syiling

Lazimnya kucing juga tidak gemar pada bunyian. Ia mudah terperanjat atau takut dengang bunyi semburan botol, suara tinggi dan juga mercun.

Anda boleh cuba ambil tin minuman kosong, letakkan duit syiling dan letakkan ia di atas sofa atau berhampiran sudut-sudut yang gemar dicakar. Ia pasti tidak akan mendekatinya.

Akhir sekali, jika kucing anda rasa bosan atau tidak mampu menghilangkan tekanan, ia menjadi lebih cenderung untuk mencakar perabot dan barang.

Oleh itu, anda juga boleh memainkan peranan dengan menjadualkan waktu setiap hari untuk bermain dengan kucing dan memperkenalkan dengan mainan baru dari masa ke semasa untuk mencegah kebiasaan itu.