Enggan bagi duit, isteri tergamak tikam suami buta sampai mati
Seorang wanita Mesir telah membunuh suaminya yang buta dengan kejam ketika berlaku pergaduhan antara mereka.
Suami enggan beri wang
Menerusi laporan Gulff News, wanita tersebut mengaku melakukan jenayah itu semasa disoal siasat oleh detektif balai polis Marg di Kaherah.
Menurutnya, ketika berlaku pergaduhan, suaminya yang buta itu bertukar menjadi ganas dan demi mempertahankan dirinya, dia memegang pemegang bicu kereta lalu memukul suaminya sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala. Kemudian, dia menikam suaminya.
Pergaduhan ini berlaku kerana suaminya itu enggan memberikan wang kepadanya.
Dalam pada itu, dia turut mengaku menghabiskan masa dua hari memikirkan cara untuk membuang mayat suaminya yang disimpan di bawah katil dan menutupnya dengan selimut.
Namun, selepas dua hari, bau mayat itu menjadi semakin busuk dan mendorongnya untuk membuang mayat tersebut dengan menurunkannya ke bawah tangga mereka.
Walau bagaimanapun, seorang penduduk telah melihat kejadian itu, lalu melaporkan kepada Balai Polis Al Marj. Polis pergi ke tempat kejadian untuk mencari mayat lelaki buta yang berusia 39 tahun itu dan polis mendapati sebanyak enam kesan tikaman yang ada pada mayat tersebut.
Disebabkan kejadian itu, wanita tersebut telah ditangkap dan dirujuk kepada pihak pendakwaan awam untuk tindakan undang- undang selanjutnya.