“Jangan ingat janda tak ada maruah, tak ada harga diri” – Ibu tunggal anak 3 luah kecewa ditinggalkan suami orang selepas bininya mengandung
Seorang wanita meluahkan kekecewaan selepas ditinggalkan teman lelakinya dengan alasan sudah tawar hati selepas hubungan mereka berjaya dihidu oleh isteri lelaki tersebut.
Jelas wanita itu yang juga berstatus ibu tunggal, pada awal perhubungan mereka, lelaki itu telah meyakinkan untuk berkahwin dengannya atas dasar mahu menambah zuriat.
“Saya tahu dia (lelaki itu) berstatus suami orang tetapi dia yang datang kepada saya, bawa cinta dia dan yakinkan saya yang dia boleh berkahwin dengan saya sebab dia nak anak.
“Isteri dia hanya boleh bagi seorang sahaja anak hasil 8 tahun perkahwinan, sebab itu saya terima dan setuju untuk bercinta dengannya,” luahnya dalam satu sesi temu bual oleh stesen radio tempatan.
Tambahnya yang juga berstatus ibu tunggal, bekas kekasihnya itu juga pernah menyatakan hasrat sudi menerima dan menjaga tiga orang anaknya yang merupakan hasil perkahwinan terdahulu.
“Saya pernah cakap dengan dia, kalau saya tak boleh bagi dia anak macam mana. Dia kata tak apa sebab anak-anak saya sekarang pun dah cukup,” katanya.
Namun begitu, hubungan cinta yang terbina itu akhirnya mula ‘goyang’ setelah isteri lelaki itu mengandung anak kedua.
“Selepas dua tahun kami bercinta, tiba-tiba isteri dia mengandung anak kedua. Tetapi pada masa itu, dia tetap yakinkan saya yang dia akan kahwin dengan saya. Hubungan kami bertahan selama empat tahun.
“Tetapi 12 hari lepas, isteri dia dapat tahu mengenai hubungan kami ini. Terus dia cakap dekat saya yang dia dah tawar hati dan tak mahu teruskan hubungan ini,” tambahnya,
Dalam pada itu, dia juga sempat menitipkan pesan kepada kaum lelaki agar tidak mengambil kesempatan dalam kesempitan lebih-lebih lagi kaum wanita yang berstatus janda.
“Jangan pernah ambil kesempatan dengan perempuan yang lemah ini terutamanya janda. Jangan ingat janda tak ada maruah, tak ada harga diri,” pesannya.