Gara-gara isteri masak kurang garam, suami sanggup minta cerai

Gara-gara isteri masak kurang garam, suami sanggup minta cerai

 

Pasangan Islam yang baru mendirikan rumah tangga diminta berpegang teguh kepada ajaran agama kerana banyak kes perceraian hanya disebabkan isu remeh.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebagai merujuk trend pembubaran perkahwinan di seluruh negara.

“Jika berdasarkan pengalaman saya ketika di mahkamah syariah sebelum ini, ada suami minta cerai hanya kerana si isterinya masak kurang garam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Serantau Kekeluargaan Islam 2023 yang berlangsung selama dua hari dan julung kali diadakan bertempat di Masjid Putra.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff ketika ucapan alu-aluan mendedahkan peranan agensi itu dalam isu pengukuhan perkahwinan termasuk penambahbaikan semula pengisian modul bersepadu bagi Kursus Pasca Perkahwinan pada 2018 selepas mula diperkenalkan tiga tahun sebelum itu.

Pada masa sama, agensi tersebut mengemas kini modul untuk Kursus Pra Perkahwinan yang diwajibkan kepada semua bakal pengantin Muslim sejak 1997 agar sentiasa relevan.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, dalam usaha pengekalan perkahwinan sehingga ke akhir hayat, enakmen keluarga Islam di setiap negeri juga ada prosedur lebih baik.

“Ini termasuk kalau ada permohonan cerai, maka jawatankuasa pendamai akan dibentuk mahkamah syariah bagi ajak pasangan berkenaan agar boleh berdamai semula,” katanya.