Selepas 6 bulan bercerai, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan kembali bergelar suami
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Qistina Lim. Majlis resepsi perkahwinan Musa di sebuah hotel di Shah Alam, malam tadi, dikongsi seorang individu dipercayai adiknya, Mohammad Izzat Hassan menerusi Facebook dengan memperlihatkan gambar persandingan, keluarga dan tetamu yang hadir.
Dalam keterangan gambar yang dikongsi dalam hantaran di media sosial itu, Mohammad Izzat menzahirkan kesyukuran dan tahniah kepada abang sulungnya. “Syukur Alhamdulillah dan tahniah, Tan Sri Musa Hassan dan Puan Sri Qistina Lim, anda (Musa) sentiasa menjadi idola, penasihat, pemimpin dan abang kepada saya.
“Selamat datang kak long Qistina dalam keluarga kami. Semoga mendapat mawaddah, rahmah dan kekal sehingga ke jannah,” katanya. Selain itu, pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar turut membuat siaran langsung Facebook yang berdurasi dua minit 18 saat berkaitan majlis resepsi itu.
“Majlis Perkahwinan Tan Sri Musa Hassan & Puan Sri Qistina Lim,” katanya menerusi akaun media sosialnya itu. Beberapa pengguna Facebook yang menonton siaran langsung itu mengucapkan tahniah dan mendoakan rumah tangga pasangan itu berkekalan. “Selamat pengantin baharu kepada Tan Sri Musa Hassan. Tan Sri yang paling saya minat dari dulu sehingga sekarang.
“Kirim salam saya kepadanya,” kata NoorAini Ismail. “Selamat pengantin baharu Tan Sri dan Puan Sri,” kata Hasmah Abu. Untuk rekod, Musa sebelum ini berpisah dengan isterinya selepas Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah pada 30 Mac lalu. Permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.